Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengkaji Duke-NUS dituduh lakukan risikan untuk Rusia di AS

Para pegawai persekutuan Amerika Syarikat memberkas seorang pengkaji dari Duke-Universiti Nasional Singapura (NUS) kerana dipercayai bertindak bagi pihak ejen Rusia yang merekrutnya untuk mengumpul maklumat mengenai pemerintah Amerika Syarikat dan bertemu dengannya berulang kali di Moscow.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengkaji Duke-NUS dituduh lakukan risikan untuk Rusia di AS

(Gambar fail)

Diterbitkan : 23 Feb 2020 12:28PM Dikemas Kini : 23 Feb 2020 12:34PM

NEW YORK - Para pegawai persekutuan Amerika Syarikat memberkas seorang pengkaji dari Duke-Universiti Nasional Singapura (NUS) kerana dipercayai bertindak bagi pihak ejen Rusia yang merekrutnya untuk mengumpul maklumat mengenai pemerintah Amerika Syarikat dan bertemu dengannya berulang kali di Moscow.

Hector Alejandro Cabrera Fuentes, seorang warga Mexico, dan isterinya sedang menaiki pesawat pulang ke Mexico dari Miami pada Ahad (16 Feb) apabila seorang pegawai kastam meminta untuk memeriksa telefon mereka.

Pegawai tersebut memeriksa satu fail yang mengandungi imej-imej yang dipadam baru-baru ini dalam telefon isteri Fuentes dan menemui gambar nombor plat yang dipetik dari dekat. Nombor plat itu milik kenderaan sumber pemerintah Amerika Syarikat, kata para pendakwa persekutuan dalam satu kenyataan.

Fuentes mengaku kepada Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika bahawa dia memberitahu isterinya, yang namanya tidak didedahkan dalam kenyataan tersebut, untuk mengambil gambar berkenaan.

Menurut para pendakwa persekutuan, Fuentes berbuat demikian bagi pihak pegawai pemerintah Rusia yang merekrutnya pada 2019 untuk menyewa hartanah di Miami-Dade County dan mengumpul maklumat.

"Pegawai Rusia itu memberitahu Fuentes supaya jangan menyewa apartmen itu di bawah namanya sendiri dan jangan memberitahu keluarganya tentang pertemuan mereka," menurut kenyataan daripada Jabatan Keadilan. Hector Fuentes bertemu dengan pegawai Rusia itu sebanyak dua kali di Moscow, menurut kenyataan tersebut.

Semasa pertemuan kedua bulan ini, pegawai tersebut memberi Fuentes gambar sebuah kenderaan milik sumber pemerintah Amerika itu.

Pegawai Rusia itu "menyuruh Fuentes supaya mengesan kereta itu, mendapatkan nombor platnya dan mencatat lokasi kenderaan itu," menurut kenyataan tersebut.

Mereka berdua sepatutnya bertemu sekali lagi sekitar April atau Mei supaya Fuentes boleh menyerahkan maklumat yang dikumpulnya kepada pegawai Rusia tersebut, kata para pegawai dalam kenyataan berkenaan.

Para pegawai persekututan berkata Fuentes dan isterinya menyewa sebuah kereta dan pada Jumaat (21 Feb), mereka mengekori sumber Amerika itu pulang ke kediamannya.

Seorang pengawal keselamatan di premis berkenaan mencurigai pasangan itu kerana kereta sewa tersebut mengekori sebuah lagi kereta untuk memasuki kompleks tersebut.

Apabila pengawal itu mendekati Fuentes, isterinya keluar daripada kereta lalu mengambil gambar kereta sumber pemerintah itu, menurut para pegawai persekutuan.

Pengawal tersebut menyoal perbuatan pasangan itu lalu Fuentes menjawab bahawa dia sedang mengunjungi seseorang di bangunan itu.

"Pihak pengawal tidak mengenali orang itu sebagai salah seorang penghuni lalu mengarahkan Fuentes supaya beredar dari premis berkenaan," kata pegawai persekutuan.

Apabila Fuentes disoal mengenai gambar itu di lapangan terbang dua hari kemudian, dia mengaku diarahkan untuk berbuat demikian oleh seorang pegawai pemerintah Rusia untuk menjalankan operasi tersebut, kata para pegawai.

Fuentes didakwa dengan tuduhan bertindak bagi pihak perisik asing tanpa memaklumkan peguam negara. Dia juga didakwa dengan tuduhan bersubahat untuk bertindak bagi pihak seorang perisik asing.

Semasa perbicaraan di mahkamah persekutuan Miami pada Selasa (18 Feb), Fuentes berkata dia melakukan pelbagai pekerjaan, termasuk sebagai seorang pengkaji di Duke-NUS, di mana dia dibayar gaji AS$7,500 (S$10,500) sebulan, lapor akhbar The Miami Herald.

Fuentes juga memberitahu hakim majistret bahawa dia menerima gaji AS$5,000 (S$6,900) sebulan daripada sebuah syarikat Israel yang berpangkalan di Jerman dan menyimpan sekitar AS$100,000 (S$139,770) dalam akaun-akaun bank di Mexico, Singapura dan Amerika Syarikat, menurut laporan akhbar berkenaan.

Fuentes disenaraikan di laman web Duke-NUS sebagai seorang pengkaji utama bagi satu kajian pada 2016 mengenai penyakit jantung. Pada 2015, dia membuat pembentangan di sebuah persidangan anjuran Persatuan Eropah bagi Kardiologi di London.

Dalam biodatanya, Fuentes digambarkan sebagai graduan Universiti Kazan di Rusia di mana dia memperolehi ijazah dalam jurusan biologi molekul dan mikrobiologi.

Dia akan dibicarakan bagi tuduhan-tuduhan tersebut di mahkamah persekutuan Miami, menurut pegawai persekutuan.

Cik Dharshini Subbiah, seorang pakar kanan komunikasi di Duke-NUS memberitahu akhbar kampus The Chronicle: "Semua pelantikan Fuentes sudah digantung dan pihaknya tidak dapat mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan di Amerika."

Mediacorp sudah menghubungi Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk mendapatkan komen berhubung hal itu.

Sumber : Today/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan