Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengetua sekolah cipta sofwe kenal pasti kelemahan pelajar

Seorang pengetua sekolah berjaya menghasilkan perisian dipanggil 'Smartreker' yang selain berupaya mengenal pasti kelemahan pelajar, juga dapat memperbaiki prestasi pembelajaran mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengetua sekolah cipta sofwe kenal pasti kelemahan pelajar

Encik Baharom menunjukkan perisian sistem Smartreker yang diciptanya baru-baru ini. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 17 Sep 2018 04:21PM Dikemas Kini : 17 Sep 2018 04:25PM

KUANTAN: Seorang pengetua sekolah berjaya menghasilkan perisian dipanggil 'Smartreker' yang selain berupaya mengenal pasti kelemahan pelajar, juga dapat memperbaiki prestasi pembelajaran mereka.

Encik Baharom Bujang, 56 tahun, berkata idea untuk menghasilkan sistem itu tercetus berdasarkan pengalaman peribadinya dalam bidang pendidikan yang mendapati rata-rata para guru berdepan dengan cabaran untuk mengenal pasti pelajar yang lemah dalam pelajaran.

Beliau berkata pada mulanya, beliau hanya menggunakan kertas graf untuk mencipta sistem itu sebelum ditukar kepada bentuk perisian komputer secara luar talian (offline).

“Sistem Smartreker ini saya bangunkan sejak tahun 1980-an lagi dan apabila teknologi komputer di Malaysia semakin berkembang, saya beralih menggunakan perisian Microsoft Excel dan Powerpoint di samping dibantu pengaturcara komputer yang mahir.

“Keunikan sistem ini ialah tenaga pengajar tidak memerlukan Internet untuk menggunakannya dan pastinya ini memudahkan sekolah-sekolah di kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak.

“Mereka hanya perlu memasukkan data iaitu markah ujian sesuatu topik mahupun subjek ke dalam sistem Smartreker untuk mendapat analisis lengkap tentang kelemahan dan kekuatan seseorang pelajar,” kata Encik Baharom.

Beliau menambah, berdasarkan analisis yang diperolehi, para guru boleh mengambil tindakan susulan dengan memberikan tumpuan kepada topik atau subjek yang belum dikuasai pelajar sehingga mereka faham dan mahir.

“Saya sudah beberapa kali mencuba sistem ini dan antaranya ketika bertugas di sebuah sekolah tempatan tiga tahun lalu, hasilnya pencapaian akademik sekolah itu meningkat mendadak dan muncul sebagai Sekolah Felda Terbaik.

“Selepas kejayaan itu, saya percaya ia boleh digunakan di semua sekolah di Malaysia dan sistem itu terus dipertingkat dengan memastikan ia mesra pengguna, mempunyai analisis bergrafik serta dapat mengenal pasti kelemahan pelajar dengan berkesan,” katanya.

Sejauh ini penerimaan sekolah-sekolah terutamanya di Pahang dan Selangor amat memberangsangkan dan pihaknya tidak menang tangan memenuhi jemputan memberikan taklimat mengenai sistem itu.  

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan