Images
  • chinese principle shuffle
    Zhang Pengfei mengajar para pelajarnya tarian moden ‘shuffle’. (Gambar: South China Morning Post) 

Pengetua 'hip' ini langgar peraturan sekolah; rancak menari bersama anak murid. Mengapa agaknya...

SHANXI: Seorang pengetua sekolah rendah di bahagian utara China berani mengabaikan program senaman yang ditetapkan oleh pemerintah negara itu, dan sebaliknya cuba menggalak para pelajarnya supaya menjadi lebih aktif dengan mengajak mereka menari.

Rakaman video Zhang Pengfei mengajar para pelajarnya tarian moden ‘shuffle’ kini tular di media sosial. Satu rakaman video yang dimuat naik ke laman Facebook juga ditonton sebanyak tujuh juta kali dalam tempoh sehari!

Malah, pengetua berusia 40 tahun ini sanggup mempelajari tarian ‘shuffle’ itu sendiri sebelum mengajarkannya kepada para pelajar.

Selain para pelajar, guru-guru juga boleh dilihat menyertai senaman tarian itu di hadapan Sekolah Rendah Xi Guan di daerah Linyi, di Shanxi.


Tarian itu dikenali sebagai ‘guibu’ ataupun ‘tarian ghaib’ – sejenis tarian ‘shuffle’ yang menggabungkan tarian jaz di samping gerakan tumit dan jari kaki serta tangan, lapor akhbar South China Morning Post.

Namun, ini bukanlah sesuatu yang dapat disaksikan di sekolah-sekolah lain di China.

Menurut laporan South China Morning Post, para pelajar di sekolah-sekolah lain biasanya melakukan senaman kalistenik setiap hari – iaitu sejenis senaman yang wajib dilakukan di setiap sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah tinggi sejak 1951. Senaman itu pertama kali dilakukan pada abad ke-19 di Jerman.

Versi China ini, yang dikenali sebagai kalistenik siaran, pula berdasarkan senaman-senaman yang dilakukan oleh para askar Jepun semasa Perang Dunia Kedua dengan pengubahsuaian ‘diilhamkan’ daripada rutin-rutin yang digunakan di negara-negara bekas Kesatuan Soviet, menurut media tempatan.

Sebelum ini, ia merupakan sebahagian daripada tugas harian para pekerja di kilang-kilang milik pemerintah dan pertubuhan-pertubuhan pemerintah.

Malah, para pemeriksa pemerintah juga menjalankan pemeriksaan rambang di sekolah-sekolah bagi memastikan agar rutin itu dipatuhi, menurut Kementerian Pendidikan China.

Bagaimanapun, Encik Zhang memberitahu akhbar Southern Metropolis News bahawa beliau dan 700 pelajarnya memerlukan satu perubahan. “Saya mahu memperkenalkan tarian (‘shuffle’) kerana para pelajar dan (guru-guru) langsung tiada minat untuk melakukan senaman kalistentik,” katanya.

Encik Zhang berkata separuh daripada guru-guru di sekolah itu menentang idea tersebut apabila beliau memulakan rutin senaman baru itu pada November lalu. Namun dua minggu kemudian, mereka turut menyertai senaman tersebut “kerana muzik yang digunakan penuh bertenaga… dan ia benar-benar dapat mengalirkan kebahagiaan,” katanya.

Pengetua sekolah itu berkata beliau tidak menjangkakan bahawa video-video yang dimuat naik ke media sosial akan menarik perhatian para netizen. “Ia hanya setakat satu kegiatan ringan yang dijalankan di sekolah kami – saya hanya ingin menawarkan cara senaman yang berbeza ketika waktu rehat,” katanya.

Bagaimanapun selepas mengabaikan sama sekali program senaman kalistenik yang ditetapkan oleh pemerintah negara itu pada Disember lalu, sesetengah pengguna Internet bimbang jika Encik Zhang akan dipecat akibat langkah yang diambilnya itu.

Menurut South China Morning Post, pemakanan atau ‘diet’ yang berubah-ubah dan gaya hidup sedentari yang semakin meningkat dalam kalangan golongan pertengahan menyebabkan peningkatan pada masalah kegemukan dalam kalangan kanak-kanak di China.

Sekolah Kesihatan Awam Universiti Peking menganggarkan 28 peratus kanak-kanak di China yang berusia antara tujuh hingga 18 tahun – iaitu hampir 50 juta kanak-kanak – akan diklasifikasikan sebagai gemuk atau mempunyai berat badan yang berlebihan menjelang 2030.

Di Beijing pula, salah seorang murid sekolah rendah di daerah Chaoyang berkata beliau berasa cemburu selepas menonton video tersebut.

“Ia amat menarik sekali. Saya berharap sekolah kami juga boleh melakukan senaman ini,” kata Zhang Yu, 9 tahun, seperti yang dipetik oleh South China Morning Post. 

- Agensi berita/AI/ai

Top