Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengendali kedai makanan, minuman bakal nikmati dua pengecualian SST

Kerajaan akan memberi pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) melibatkan penyewaan warung kecil dan penjualan rokok kepada para pengendali kedai makanan dan minuman.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengendali kedai makanan, minuman bakal nikmati dua pengecualian SST

(Gambar fail: Jimin Lai/AFP)

Diterbitkan : 09 Sep 2018 08:58PM Dikemas Kini : 09 Sep 2018 08:59PM

GEORGE TOWN: Kerajaan akan memberi pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) melibatkan penyewaan warung kecil dan penjualan rokok kepada para pengendali kedai makanan dan minuman.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, selepas menerima pelbagai maklum balas daripada para peniaga kedai makanan dan minuman, pengecualian cukai SST harus diberikan kepada penyewa warung-warung kecil dalam pekarangan sebuah kedai.

"Pengendali kedai makanan dan minuman hanya dikenakan cukai SST selepas melebihi nilai ambang RM1.5 (S$500,000) juta yang merangkumi makanan dan minuman sahaja dan kadar sewaan warung-warung ini bukan melibatkan makanan dan minuman. Maka itu sewaan tidak perlu masuk dalam cukai SST," kata Encik Lim.

Encik Lim turut mengumumkan bahawa penjualan rokok di kedai berkenaan yang tidak mencapai nilai ambang sebanyak RM500,000 (S$166,000) setahun juga akan diberi pengecualian cukai SST.

Katanya, kerajaan bersetuju bahawa nilai ambang kedua-dua barangan berkenaan diasingkan kepada RM1.5 juta (S$500,000) setahun bagi makanan dan minuman, manakala RM500,000 (S$166,000) untuk rokok.

"Pengecualian SST ke atas penjualan rokok di kedai makanan dan minuman yang nilai ambangnya kurang daripada RM500,000 (S$166,000) ini akan membantu peniaga untuk mengurangkan bebanan mereka dengan barangan itu akan dijual pada harga sama di kedai lain," katanya.

Encik Lim menambah, kerajaan sedang memberi pertimbangan untuk memberi pengecualian cukai kepada pengendali sektor penyelidikan dan pembangunan tempatan yang berpangkalan di luar kawasan Zon Industri Bebas yang memberi perkhidmatan kepada syarikat di kawasan berkenaan.

"Ini bagi memberikan dorongan kepada sektor tempatan dalam menghadapi era Revolusi Industri 4.0 dan meningkatkan daya saing dalam kalangan pemain industri tempatan," katanya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan