Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengebumian besar-besaran mangsa gempa-tsunami Palu, elak wabak

Angka kematian akibat gempa bumi dan tsunami di pulau Sulawesi meningkat hampir sekali ganda kepada 832 orang pada Ahad (30 Sep) dan jumlah itu dijangka terus meningkat, memaksa pihak berkuasa mengumumkan pengebumian besar-besaran dalam usaha mencegah penularan penyakit.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Oct 2018 07:59AM Dikemas Kini : 01 Oct 2018 11:33PM

PALU: Angka kematian akibat gempa bumi dan tsunami di pulau Sulawesi meningkat hampir sekali ganda kepada 832 orang pada Ahad (30 Sep) dan jumlah itu dijangka terus meningkat, memaksa pihak berkuasa mengumumkan pengebumian besar-besaran dalam usaha mencegah penularan penyakit.

Jurucakap agensi pengurusan bencana Indonesia Sutopo Purwo Nugroho berkata angka kematian terus meningkat berbanding 420 orang yang diumumkan sebelum ini.

"Hari ini (1 Okt) kami akan memulakan pengebumian beramai-ramai mangsa bagi mengelak penyebaran penyakit," kata Encik Sutopo.

Timbunan mayat yang banyak mudah menyebarkan penyakit taun dan kolera.

Pihak berkuasa berkata mereka akan mengambil cap jari dan gambar digital mangsa untuk teknologi pengecaman wajah kemudian.

Perkembangan itu amat menyedihkan terutama bagi ahli keluarga atau rakan yang mahu mengucapkan selamat tinggal kali terakhir atau melakukan pengebumian sempurna.

Para penyelamat di pulau Sulawesi berkejar dengan masa dan dihambat kekurangan peralatan untuk menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan. Sehingga 60 orang dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan sebuah hotel di Palu dengan para penyelamat berkata mereka terdengar suara dan tangisan seorang kanak-kanak.

(Gambar: Bay Ismoyo/AFP)

(Gambar: Bay Ismoyo/AFP)

Mangsa-mangsa yang terselamat pula terpaksa menjarah kedai bagi mendapatkan keperluan asas seperti makanan, minuman dan minyak kerana terdesak. Pemerintah tidak ada pilihan lain selain berjanji untuk membayar semula pemilik kedai-kedai yang dijarah.

"Catat semuanya yang diambil, kami akan bayar," kata menteri selamatan Wiranto.

(Gambar: Adek Berry/AFP)

(Gambar: Adek Berry/AFP)

Seorang mangsa, Adi sedang berada di pantai bersama isterinya semasa tsunami melanda pada Jumaat (28 Sep). Seperti ramai yang lain, Adi tidak tahu di mana isterinya kini berada atau sama ada beliau masih hidup.

"Apabila berlaku ombak tinggi, dia hilang," kata Adi. "Saya dihanyutkan sejauh 50 meter."

Tambah Adi: "Pagi ini, saya kembali ke pantai, saya jumpa motosikal dan dompet isteri saya."

JOKOWI MINTA MANGSA TSUNAMI BERSABAR

Presiden Indonesia Joko Widodo melawat mangsa gempa dan tsunami pada petang Ahad (30 Sep) dan meminta mereka supaya bersabar. Beliau berkata kerja-kerja menyelamat akan dilakukan "siang dan malam" untuk mencari dan menyelamat mereka yang masih hidup.

(Gambar: AFP)

Presiden Jokowi melawat kota Palu selepas bencana alam yang berlaku. (Gambar: AFP)

Beliau berkata pemerintah memerlukan tempoh seminggu untuk menyiapkan lapangan terbang bagi membolehkan pesawat membawa bantuan mendarat dengan selamat.

"Saya sedar mengenai banyak isu yang perlu diselesaikan secepat mungkin dan saya berharap penduduk kekal sabar dalam keadaan sebegini," kata beliau.

Penduduk Palu yang terjejas akibat bencana itu berdepan kesukaran mendapatkan bekalan elektrik dan bahan bakar selain bekalan lain seperti makanan dan perubatan sejak Jumaat (28 Sep).

(Gambar: Azwar/AFP)

(Gambar: Azwar/AFP)

Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla berkata angka kematian di utara pulau Sulawesi boleh mencecah "ribuan" orang kerana banyak lagi kawasan masih belum dapat dihubungi.

Stesen Metro TV menyiarkan rakaman kesan bencana di Donggala, kawasan yang paling hampir dengan pusat gempa. Seorang penduduk berkata mangsa terselamat di Donggala berlindung di kawasan berbukit dan mereka juga merayu bantuan.  

Sumber : AFP/SU/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan