Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengawal keselamatan ini tiba-tiba tular di Twitter, ini kisah ‘legendary guard’

Hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang jua.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengawal keselamatan ini tiba-tiba tular di Twitter, ini kisah ‘legendary guard’

Pak Din, atau nama sebenar Kamarudin Basri, dikenali sebagai 'wira' dalam kalangan pelajar. (Gambar-Gambar: Twitter)

Diterbitkan : 15 Oct 2019 01:02PM Dikemas Kini : 15 Oct 2019 01:23PM

KUALA LUMPUR: Hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang jua.

Peribahasa yang tepat menggambarkan kisah Pak Din, seorang pengawal keselamatan yang secara tiba-tiba menjadi 'trending' di laman sosial Twitter selepas meninggal dunia pada Isnin (7 Okt).

Hingga ke hari ini, beribu-ribu ciapan membanjiri laman sosial tersebut dengan rata-rata menzahirkan ucapan takziah dan rasa sedih selain mengimbas kenangan bersama Pak Din - nama sebenar Kamarudin Basri.

Pak Din, 67, yang bertugas hampir 20 tahun di Sekolah Kebangsaan dan juga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas (CBN) meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada Isnin (7 Okt) kerana komplikasi kesihatan akibat masalah jantung dan leukemia.

KEHILANGAN PAK DIN DIRASAI SELURUH WARGA SEKOLAH

Anaknya, Zulzailiza Kamarudin, 36, berkata beliau tidak menyangka kematian ayahnya menjadi satu topik dalam kalangan netizen, terutamanya bekas pelajar sekolah dan anggota keluarga mereka yang berkongsi berbagai-bagai kisah mengenai sikap prihatin ayahnya sepanjang bertugas di sekolah itu.

"Saya memang tak sangka benda ni boleh jadi besar (viral),” katanya kepada agensi berita Bernama.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan CBN, Rosemand A. Lawrence, pula berkata kehilangan Pak Din benar-benar dirasai oleh semua warga sekolah, termasuk guru dan pelajar.

"Kami merasakan kehilangannya. Pelajar (perempuan) amat menyayangi beliau. Pemergiannya satu kehilangan besar kepada sekolah ini," katanya.

Guru Bahasa Melayu di SMKCBN Nor Aini Mohd Hol, 57, pula menyifatkan Pak Din sebagai wira CBN kerana beliau bukan sahaja pengawal keselamatan yang cukup dipercayai oleh ibu bapa tetapi turut disayangi guru dan murid kerana kemuliaan hatinya.

"Warga CBN memang mengharapkan kehadiran Pak Din setiap hari mengawal lalu lintas sepanjang Jalan Bukit Nanas, malah Pak Din juga membantu membaiki kerosakan, menggantung bendera, membaiki kereta yang sukar dihidupkan atau tayar pancit, dan sebagainya," katanya.

DIKENALI SEBAGAI 'WIRA' DALAM KALANGAN PELAJAR

Bekas pelajar, Shaza Mhd Husam Eddin Al Muzayen, 24, mengimbau kenangan sepanjang mengenali Pak Din selama lima tahun bersekolah di situ dari 2008 hingga 2012, dan menyifatkan Pak Din sebagai insan yang murah dengan senyuman.

Katanya, Pak Din cukup terkenal dengan tiupan wiselnya yang amat nyaring dan kadangkala meniup wisel hanya kerana hendak bergurau dan membuat pelajar serta guru terkejut, dan kemudiannya ketawa.

"Pak Din sentiasa berada di sekitar. Dari awal pagi hingga lewat petang, beliau orang pertama yang anda lihat datang ke sekolah, dan orang terakhir yang mereka lihat ketika pulang.

"Beliau sering membantu pelajar dan guru. Jika kami perlu bantuan menaikkan sepanduk, Pak Din akan bantu. jika kami hendak memasang hiasan, dia akan bantu. Pendeknya, apa jua bantuan yang diperlukan," kata Shaza.


Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan