Pengasuh Adam Rayqal didakwa
Berdasarkan kertas pertuduhan, Noor Aqilah sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Adam Rayqal, didakwa menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan pada kepala kanak-kanak berkenaan.
SELAYANG: Pengasuh Adam Rayqal Mohd Sufi, bayi berusia lima bulan yang ditemui mati di dalam peti sejuk didakwa di mahkamah sesyen di sini, hari ini (13 Jul), atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan kepala dan melupuskan mayat mangsa, awal bulan ini.
Noor Aqilah Abd Rahman, 33 tahun, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Syafeera Mohd Said.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Noor Aqilah sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Adam Rayqal, didakwa menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan pada kepala kanak-kanak berkenaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dia turut dituduh melupus mayat Adam Rayqal dengan niat menyembunyikan kematian mangsa dan menyebabkannya terlepas daripada hukuman dan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dan didenda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.