Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penganjur sedia bantu Nurul Izzah tunai janji bawa Radiohead ke M’sia

Sedang ramai peminat menaruh harapan untuk melihat Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar mengotakan janjinya membawa kumpulan Radiohead ke negara ini, muncul pihak yang menawarkan diri sebagai penganjur bagi merealisasikan hasrat YB baru itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Penganjur sedia bantu Nurul Izzah tunai janji bawa Radiohead ke M’sia

Gambar: Instagram

Diterbitkan : 23 May 2018 08:13AM Dikemas Kini : 23 May 2018 08:24AM

KUALA LUMPUR: Sedang ramai peminat menaruh harapan untuk melihat Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar mengotakan janjinya membawa kumpulan Radiohead ke negara ini, muncul pihak yang menawarkan diri sebagai penganjur bagi merealisasikan hasrat YB baru itu.

Sebagai tanda sokongan terhadap janji yang pernah dibuat Cik Nurul Izzah lima tahun lalu, The Livescape Group tampil membuka peluang melalui Rockaway Festival agar Naib Presiden PKR itu berurusan dengan mereka, lapor Malaysiakini.

“Kami menulis surat ini untuk mengingatkan diri sendiri mengapa perlu berterusan menyokong industri muzik. Kami berterima kasih kerana anda memperjuangkannya.

“Kami di sini ingin membantu anda menggegarkan Malaysia dengan Radiohead. Apa yang kamu perlu buat adalah bertanya,” demikian menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

Ditubuhkan pada 2010, Rockaway Festival nama yang tidak asing lagi dalam industri tempatan. Ia pesta muzik rock yang menghimpunkan kugiran berpengaruh dari dalam dan luar negara.

PERNAH TAMPIL NAMA BESAR

Rockaway Festival pernah menampilkan nama-nama besar artis antarabangsa antaranya Scorpions, Third Eye Blind, Unearth, Soulfly, Paramore dan Sum 41.

Sebelum ini, seorang pengguna Twitter dengan gelaran @AlepWilcox mengingatkan Cik Nurul Izzah untuk menepati janji sekiranya berjaya menawan Putrajaya di pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), pada 2013.

Janji itu dibuat pada tahun sama sewaktu Cik Nurul Izzah ditemu bual oleh majalah Esquire bagi isu keluaran Julai.

Dalam wawancara berkenaan, anak sulung pasangan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu menyatakan kesediaannya untuk membawa kugiran kegemarannya yang berasal dari Abingdon, Oxfordshire itu, lapor Malaysiakini.

"Jika kami berjaya menakluk Putrajaya, saya akan bawa Radiohead ke Kuala Lumpur," kata wakil rakyat berusia 38 tahun itu.

JANJI ADALAH JANJI

Sebagai respons kepada ciapan @AlepWilcox itu pula, Cik Nurul Izzah menjawab: "Sesungguhnya janji adalah janji."

Semakan Malaysiakini hingga petang semalam (22 Mei) mendapati bahawa ciapan Cik Nurul Izzah yang mengungkapkan “janji adalah janji” itu mendapat lebih 3,000 ‘shares’ dan lebih 4,000 ‘likes’.

“Ini secara tidak langsung menunjukkan peminat muzik tempatan bersetuju dengan visi anda dan mereka juga mahu menyaksikan impian itu menjadi realiti,” menurut kenyataan itu lagi.

Walaupun gagal di PRU-13, kekalahan itu ibarat ditebus semula apabila parti komponen Pakatan Harapan menang majoriti mudah di Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu.

LAKUKAN SESUATU, SOKONG INDUSTRI

Radiohead ditubuhkan pada 1985 dan popular dengan lagu-lagu seperti Creep, Karma Police, High and Dry dan My Iron Lung.

Dalam pada itu, The Livescape Group menyatakan walaupun muzik boleh membawa maksud dan penerimaan yang berbeza-beza, masih ada perkara yang kekal sama.

“Kami tahu industri muzik kita begitu hebat dan bertenaga dan kita mempunyai banyak bakat tempatan yang menginginkan platform bagi mengetengahkan bakat, kebolehan dan minat mereka.

“Justeru, jika permintaan ini menyentuh perasaan kamu, maka lakukan sesuatu terhadapnya. Sokonglah industri muzik kita dan tunjukkan betapa sayangnya kamu kepada pemuzik yang kamu minati,” gesa syarikat berkenaan.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan