Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengangkutan jemaah haji cabaran besar bagi Arab Saudi

Kerajaan Arab Saudi mengakui bahawa tanggungjawab menyediakan pengangkutan bagi jutaan jemaah yang mula membanjiri kota suci Makkah bagi menunaikan haji adalah sesuatu yang cukup mencabar.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengangkutan jemaah haji cabaran besar bagi Arab Saudi

(Gambar: FETHI BELAID/AFP)

Diterbitkan : 13 Aug 2019 08:22AM Dikemas Kini : 13 Aug 2019 08:27AM

ARAFAH: Kerajaan Arab Saudi mengakui bahawa tanggungjawab menyediakan pengangkutan bagi jutaan jemaah yang mula membanjiri kota suci Makkah bagi menunaikan haji adalah sesuatu yang cukup mencabar.

“Kami menerima hampir 2.5 juta jemaah tahun ini dan menyediakan pengangkutan untuk semua jemaah ini adalah satu cabaran,” kata Menteri Pengangkutan Arab Saudi, Nabil al-Amoudi kepada AFP.

Menurut Encik al-Amoudi, 7,400 pesawat yang penuh dengan jemaah tiba tahun ini melalui lapangan terbang Jeddah dan Madinah dan lebih daripada 18,000 bas dikerahkan untuk haji.

Menunaikan haji adalah rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan oleh setiap umat Islam yang berkemampuan, sekali seumur hidup.

Khidmat kereta api yang menghubungkan tiga peringkat ibadah haji akan menampung 360,000 jemaah tahun ini, sekali gus merupakan "satu lagi rekod" menurut menteri pengangkutan itu.

Laluan yang mula dibuka pada 2010 ini, berbeza kerana ia hanya beroperasi lima hari setahun.

Sebahagian besar daripada 2.49 juta jemaah yang menunaikan ibadah haji tahun ini, tiba melalui udara dan hanya beberapa ribu saja melalui laluan darat dan laut.

Sebilangan jemaah haji juga pergi ke Madinah, walaupun ia bukan sebahagian daripada kewajipan haji.

Pada hujung September, satu laluan kereta api berkelajuan tinggi dibuka bagi

menghubungkan Makkah dengan Madinah dalam masa hanya 2 setengah jam, sekaligus mengurangkan separuh masa perjalanan sebelum ini.

Tahun ini, kereta api yang diberi nama Haramain itu akan mengangkut antara 20,000 hingga 30,000 jemaah haji, sebelum meningkatkan kapasitinya secara bertahap-tahap dalam masa beberapa tahun akan datang, kata Encik Amoudi.

Bagi kawasan-kawasan di sekeliling Makkah, pengangkutan sepanjang musim haji masih huru-hara.

Beribu-ribu bas mengakibatkan kesesakan trafik sepanjang hari, sekaligus bermakna perjalanan sejauh 12 kilometer boleh mengambil masa selama setengah hari, atau lebih.

Malah, asap dari ribuan bas bukan saja mengakibatkan pencemaran tetapi juga memaksa jemaah yang berada di puncak Arafah untuk memakai pelitup.

“Berhubung pencemaran akibat bas-bas, kami sedang mempertimbangkan langkah wajar untuk mengurangkan pengeluaran gas,” kata menteri itu.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan