Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penerbitan Utusan Malaysia, Kosmo! dihentikan?

Dakwaan Utusan Melayu (M) Berhad akan menghentikan cetakan dua akhbarnya, Utusan Malaysia dan Kosmo pada Rabu ini masih belum rasmi, menurut Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan Mohd Taufek Abdul Razak.

Anggaran Waktu Membaca:
Penerbitan Utusan Malaysia, Kosmo! dihentikan?

Logo Utusan Melayu (Malaysia) Berhad

Diterbitkan : 19 Aug 2019 10:20PM Dikemas Kini : 19 Aug 2019 10:36PM

KUALA LUMPUR: Dakwaan Utusan Melayu (M) Berhad akan menghentikan cetakan dua akhbarnya, Utusan Malaysia dan Kosmo pada Rabu ini masih belum rasmi.

Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan Mohd Taufek Abdul Razak berkata hasil perbincangan dengan Pengerusi Eksekutif Utusan, Abd Aziz Sheikh Fadzir, pekerja hanya dimaklumkan Utusan akan ditutup sekiranya tiada jalan penyelesaian pembayaran gaji tertunggak pekerja.

"Kami diberitahu kalau tiada jalan penyelesaian, Utusan akan ditutup namun Abd Aziz tidak menyatakan tarikh sebenar tentang perkara itu. Kami mendapat tahu akan ditutup pada Rabu hanya dengar cakap daripada rakan sejawatan.

"Saya juga tidak mendapat perkembangan mengenai mesyuarat Lembaga Pengarah Utusan pada petang tadi, kami cuma dimaklumkan satu taklimat bersama Pengerusi Eksekutif (Abd Aziz) akan diadakan pada 4 petang esok," katanya ketika dihubungi Bernama.

Jelasnya lebih 100 pekerja Utusan Melayu (M) Berhad mengadakan demonstrasi di luar ibu pejabat syarikat itu bagi menuntut tunggakan gaji selama dua hingga tiga bulan.

“Abd Aziz memberitahu, Utusan memang tidak ada duit bayar gaji untuk yang tertunggak dan pada masa-masa akan datang dan syarikat itu juga gagal melupuskan aset yang ada,” katanya.

Sementara itu, di Seremban, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Jalaluddin Alias mencadangkan supaya satu tabung khas diwujudkan parti bagi membela nasib pekerja Utusan.

"Khabar mengenai krisis kewangan yang melanda Utusan Malaysia merupakan satu berita menyedihkan bukan sahaja kepada pengamal media bahkan masyarakat.

"Saya juga mahu mengajak rakyat turut sama membantu memberikan derma bagi meringankan beban yang ditanggung mereka walaupun tidak banyak, sekurang-kurangnya derma kecil kita dapat membantu mereka," kata Ahli Parlimen Jelebu itu dalam kenyataan malam ini (19 Ogos).

Beliau dalam pada itu menuntut jawapan daripada pengurusan tertinggi Utusan mengenai masalah yang melanda syarikat akhbar berkenaan.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan