Images
  • fire (2)
    Peralatan pendaratan sebuah pesawat terbakar ketika hendak berlepas. (Gambar: Jack O'shea/AFP)

Penerbangan di lapangan terbang Ireland digantung akibat kebakaran

DUBLIN: Penerbangan-penerbangan di Lapangan Terbang Shannon yang terletak di bahagian barat Ireland digantung hari ini (15 Ogos) selepas satu kebakaran berlaku pada peralatan pendaratan, kata seorang jurucakap lapangan terbang.

Pesawat jenis Boeing itu dimiliki oleh Omni Air International, sebuah syarikat penerbangan tempahan Amerika Syarikat khusus bagi penggunaan tentera dan pemerintah.

"Khidmat kecemasan lapangan terbang sedang berada di tempat kejadian dan awal dari itu, sudahpun memadamkan kebakaran yang berlaku pada peralatan pendaratan," kata jurucakap Shannon Group dalam kenyataannya.

"Semua penumpang dan anak kapal sudah meninggalkan pesawat itu dengan selamat dan mereka kini berada di bangunan terminal."

Imej-imej di media sosial menunjukkan jumlah besar kereta bomba mengelilingi pesawat tersebut.

"Laporan awal menunjukkan bahawa tiada penumpang mahupun anak kapal yang mengalami kecederaan serius," menurut Omni Air menerusi catatan Twitter.

Lapangan Terbang Shannon bagaimanapun tidak mengulas mengenai sama ada pesawat itu sedang memindahkan para askar apabila kecemasan tersebut berlaku.

Hab itu mencetuskan kontroversi di Ireland kerana memudahkan pergerakan askar-askar Amerika, dengan menyediakan sokongan logistik kepada operasi yang dijalankan di luar negara.

Kakitangan lapangan terbang itu kini sedang berusaha untuk memindahkan pesawat berkenaan dari landasan kapal terbang, menurut jurucakap Shannon Group lagi.

- AFP/AI/ai

Top