Images
  • kubur (1)
    (Gambar: AFP)

Penemuan kubur besar di Libya; AS kenakan sekatan terhadap pemimpin & kumpulan militia

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Rabu (25 Nov) mengenakan sekatan terhadap Mohamed al-Kani dan kumpulan militia Kaniyat di Libya kerana didakwa terlibat membunuh orang awam yang mayat mereka dijumpai ditanam di sebuah kubur besar di Tarhuna, lapor agensi berita Anadolu.

Jabatan Perbendaharaan Amerika menuduh kumpulan pro-Khalifa Haftar melakukan penyeksaan, melenyapkan dan mengusir orang awam di negara yang dilanda konflik itu.

"Mohamed al-Kani dan militan Kaniyat telah menyeksa dan membunuh orang awam semasa kempen penindasan kejam di Libya," kata Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin.

Beliau berkata Washington "akan menggunakan cara dan kuasa yang ada untuk menyasarkan pihak yang mencabul hak asasi manusia di Libya dan di seluruh dunia."

Militan Kaniyat berpaling tadah dari Pemerintah Perpaduan (GNA) Libya yang diiktiraf pada April 2019, dengan menyokong Tentera Nasional Libya (LNA).

"Pada Jun 2020, setelah gencatan senjata de facto, pasukan bersekutu GNA masuk semula ke Tarhuna dan menemui sekurang-kurangnya 11 kubur besar orang awam yang sebelum ini menjadi tawanan militia Kaniyat, termasuk wanita, kanak-kanak dan warga tua," katanya.

"Keadaan beberapa mayat kelihatan seperti telah diseksa, dibakar atau ditanam hidup-hidup. Militia Kaniyat juga bertanggungjawab terhadap ratusan hukuman mati yang dilakukan di penjara Tarhuna."

Awal bulan ini, pihak berkuasa Libya menemui lima kubur besar di kawasan sama di Tarhuna dan 12 mayat dijumpai selepas kerja-kerja menggali dilakukan.

Libya terjerumus ke dalam kancah perang saudara sejak pemimpin Muammar Gaddafi digulingkan pada 2011. GNA ditubuhkan pada 2015 di bawah perjanjian diterajui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Usaha ke arah penyelesaian politik jangka panjang menemui jalan buntu akibat serangan yang dilancarkan tentera Haftar. 

- BERNAMA/NA/na

Top