Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penembak tulis manifesto sebelum serang masjid Christchurch

Satu manifesto yang berlatarbelakangkan perasaan antipendatang berjudul ‘The Great Replacement’ setebal 73 muka surat dikongsi secara meluas di media sosial selepas ia dikaitkan dengan penembakan di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand pada Jumaat (15 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Penembak tulis manifesto sebelum serang masjid Christchurch

Suspek Brenton Tarrant. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 15 Mar 2019 04:29PM Dikemas Kini : 15 Mar 2019 04:33PM

CHRISTCHURCH: Satu manifesto yang berlatarbelakangkan perasaan antipendatang berjudul ‘The Great Replacement’ setebal 73 muka surat dikongsi secara meluas di media sosial selepas ia dikaitkan dengan penembakan di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand pada Jumaat (15 Mac).

Manifesto itu ditulis oleh Brenton Tarrant, warga Australia yang sudah dikenal pasti sebagai salah seorang penembak di masjid berkenaan, menceritakan kebimbangan mengenai kehilangan kaum dan bangsa Eropah akibat penghijrahan warga luar ke New Zealand.

Antara nota yang terkandung dalam manifesto berkenaan: “Krisis penghijrahan warga luar ke dalam negara secara besar-besaran merupakan serangan terhadap orang-orang Eropah yang, jika tidak dihentikan, akhirnya akan menyebabkan bangsa Eropah diganti dan hilang sepenuhnya."

“Ia semua berlaku melalui penghijrahan. Ini penggantian etnik. Ini penggantian bangsa. Ini penggantian kaum,” tegas Brenton.

Berdasarkan statistik rasmi yang dikeluarkan oleh StatsNZ, pendatang luar negara merosot dari 58,400 kepada 56,230 pada hujung Disember 2018.

Bagaimanapun, perasaan antipendatang itu kian meningkat bukan sahaja bagi individu-individu seperti Brenton, namun juga boleh dilihat dalam undang-undang di bawah pemerintah Parti Nasional.

Pada tahun 2017, pemerintah New Zealand memperkenalkan beberapa sekatan terhadap kemasukan pendatang luar antaranya menaikkan gaji minimum untuk mendapatkan visa serta menyukarkan peluang untuk lulus peperiksaan Bahasa Inggeris.

Serangan ngeri pada skala ini belum pernah dialami oleh penduduk New Zealand, selain insiden tembakan pada tahun 1990 apabila seorang lelaki menembak mati 13 orang, termasuk dua kanak-kanak berusia 6 tahun.

Brenton sudah dinamakan sebagai salah seorang suspek yang bertanggungjawab ke atas sekurang-kurangnya 40 nyawa yang terkorban dalam tembakan rambang yang berlaku di dua buah masjid di Christchurch sewaktu solat Jumaat hari ini.

Serangan itu, yang menurut polis dilakukan oleh empat orang suspek, turut dirakam oleh Brenton dalam video yang disiarkan secara langsung kepada Facebook melalui kamera badan dan boleh digambarkan seolah-olah menyerupai gaya permainan menembak PUBG.

Buat masa ini, polis sudah menangkap tiga suspek dan masih mencari seorang lagi suspek yang melarikan diri.

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan