Images
  • shooter
    Alexandre Bissonnette. (Gambar: AFP) 

Penembak masjid Quebec dihukum penjara seumur hidup, tiada parol untuk 40 tahun

QUEBEC CITY: Seorang lelaki berusia 29 tahun, yang menembak mati enam jemaah di sebuah masjid di Quebec City dalam satu serangan anti-Islam terburuk di Barat, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Jumaat (8 Feb).

Alexandre Bissonnette perlu menunggu 40 tahun - lebih lama daripada lazimnya - sebelum dia boleh memohon diberi parol.

Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Francois Huot menolak permintaan pendakwa untuk menjatuhkan hukuman penjara 150 tahun, iaitu hukuman paling lama di Kanada, dengan berkata bahawa "menjatuhkan hukuman atas pembunuhan melebihi jangka hayatnya" adalah hukuman yang zalim dan di luar kebiasaan undang-undang Kanada.

Bagaimanapun, beliau turut akui pembunuh itu mempunyai "kebencian kuat terhadap pendatang beragama Islam".

Bissonnette merupakan seorang mahasiswa ketika dia melakukan serangan itu. Dia dipercayai terpengaruh dengan ideologi-ideologi nasionalis dan supremasi untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai secara "tidak wajar dan menyebabkan korban jiwa" serta "menjejas nilai asas masyarakat kita," menurut hakim tersebut.

Serangan di Pusat Kebudayaan Islam Quebec, di kawasan kejiranan Sainte-Foy merupakan antara tragedi paling dahsyat di Kanada.

Pada 29 Januari 2017, Bisonnette menyerang sebuah masjid di Quebec City dan melepaskan tembakan terhadap 40 lelaki dan empat kanak-kanak yang sedang berbual-bual setelah selasai menunaikan solat.

- AFP/NA/na

Top