Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penduduk zahir rasa sedih atas kematian Nora Anne

Penduduk di sekitar kawasan resort di Pantai, Seremban di Malaysia menzahirkan rasa simpati, hiba dan terkejut menyusuli penemuan mayat remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 tahun, pada hari ke-10 kehilangannya dari sebuah resort.

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk zahir rasa sedih atas kematian Nora Anne

Nora Anne Quoirin dilaporkan hilang pada 4 Ogos 2019. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 14 Aug 2019 01:27PM Dikemas Kini : 14 Aug 2019 01:35PM

NILAI: Penduduk di sekitar kawasan resort di Pantai, Seremban di Malaysia menzahirkan rasa simpati, hiba dan terkejut menyusuli penemuan mayat remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 tahun, pada hari ke-10 kehilangannya dari sebuah resort.

Rata-rata penduduk seakan tidak percaya kehilangan remaja malang itu berakhir sebegitu selain menyifatkan ia sebagai peristiwa 'hitam' buat kampung berkenaan.

Mohamad Afendi Azhar, 26, berkata kejadian itu adalah peristiwa pertama di kawasan itu membabitkan kes kehilangan individu yang berakhir dengan kematian.

Katanya, beliau bersama penduduk kampung pernah berusaha mencari remaja itu pada hari kedua selepas gadis berkenaan dilaporkan hilang pada 4 Ogos, namun gagal.

"Secara peribadi, saya amat simpati dengan keluarganya ," katanya kepada Bernama.

Seorang lagi penduduk yang ingin dikenali sebagai Malik, 28, mengakui terkejut apabila mendapat berita mengenai penemuan mayat itu yang berada kira-kira 2.5 kilometer dari resort di mana beliau dilapor hilang.

"Tak sangka akan jumpa dalam keadaan macam ni (tidak bernyawa). Memang simpati dengan keluarga mangsa. Walaupun jumpa dalam keadaan sudah tidak bernyawa tetapi sekurang-kurangnya tanda tanya selama ini kehilangan Nora Anne terungkai," katanya.

Beliau berkata kebanyakan kes yang berlaku di situ hanya melibatkan kejadian orang sesat dan kebiasaannya akan dijumpai selamat dalam masa singkat.

Mohd Raffiq Ismail, 31, yang pernah mengikuti operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi penemuan mayat itu pula mengakui terkilan kerana gagal menemui remaja itu walaupun pernah mencarinya di kawasan sama.

"Masa saya ikut operasi itu, kami ada lalu kawasan tu (lokasi penemuan mayat) tapi kami tak temui apa-apa, tiga hari ikut operasi," katanya.

Nora Anne bersama keluarganya tiba di Malaysia pada 3 Ogos bagi percutian selama dua minggu dan remaja itu disedari hilang oleh keluarganya dari bilik penginapan mereka pada pukul 8.00 pagi hari berikutnya.

Mayatnya ditemui pada pukul 1.57 tengah hari Selasa (13 Ogos).

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan