Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penduduk Wuhan 'tidak risau' kematian akibat pneumonia

Walaupun berlaku kematian membabitkan seorang lelaki berhubung kes radang paru-paru atau pneumonia di bandar China ini, hingga mencetuskan kebimbangan antarabangsa, penduduknya kelihatan masih tidak bimbang.

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk Wuhan 'tidak risau' kematian akibat pneumonia

Doktor memeriksa nadi pesakit. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 12 Jan 2020 11:08PM Dikemas Kini : 11 Mar 2020 11:44AM

WUHAN: Walaupun berlaku kematian membabitkan seorang lelaki berhubung kes radang paru-paru atau pneumonia di bandar China ini, hingga mencetuskan kebimbangan antarabangsa, penduduknya kelihatan masih tidak bimbang.

Bahkan, bandar yang dikesan menyebabkan kemunculan kumpulan virus baru itu terus dikunjungi pelancong.

Tian, seorang pelancong dari bandar lain mengambil masa tiga jam ke Wuhan.

Beliau meneruskan rancangan ke bandar itu walaupun keluarganya menyuarakan kebimbangan mengenai kemunculan wabak pneumonia baru itu.

“Saya katakan tidak ada yang perlu dibimbangkan, jadi saya datang,” katanya kepada AFP namun memakai pelitup sebagai langkah berjaga-jaga.

Penduduk setempat juga kelihatan tidak mempedulikan wabak itu, yang dipercayai daripada kumpulan sama wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), koronavirus berjangkit yang membunuh ratusan rakyat China dan Hong Kong antara 2002 hingga 2003.

Sehingga kini, 41 pesakit di Wuhan mengalami gejala seperti radang paru-paru dikesan dijangkiti virus baru itu, dengan seorang lelaki berusia 61 tahun disahkan pihak berkuasa China meninggal dunia kelmarin.

Wabak itu dikesan beberapa minggu sebelum sambutan Tahun Baru Cina yang menjadi tempoh cuti paling sibuk dan sesak dengan jutaan orang mengunjungi China.

Sejauh ini tidak ada bukti jelas jangkitan manusia ke manusia dikesan, menurut suruhanjaya kesihatan tempatan.

Pasar Borong Makanan Laut Huanan di pusat bandar itu iaitu lokasi kebanyakan pesakit pneumonia dikesan dijangkiti virus, ditutup sejak 1 Januari lalu.

Bagaimanapun, beberapa restoran di bangunan sama masih beroperasi hingga ke hari ini.

Jabatan Kesihatan Hong Kong menyatakan pada Sabtu bahawa ciri-ciri virus yang dikesan dalam tubuh seorang pesakit menyamai 80 peratus SARS yang ditemui pada kelawar, namun masih terlalu awal membuat kesimpulan.

Di luar pusat perubatan di Wuhan tempat kumpulan pesakit itu dirawat, ada pesakit dibenarkan pulang tanpa mengenakan pelitup, manakala pengunjung bebas keluar masuk.

Sumber : AFP/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan