Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penduduk Pulau Perhentian sudah 'biasa' dengan ombak setinggi 5 tingkat semasa musim tengkujuh

Pernahkah anda melihat atau melalui pengalaman dihentam ombak setinggi bangunan lima tingkat dengan diiringi angin kencang?

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk Pulau Perhentian sudah 'biasa' dengan ombak setinggi 5 tingkat semasa musim tengkujuh

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pulau Perhentian yang juga pemandu bot pelancong, Mohd Zakuan Mat Nasir, berada di atas botnya. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 20 Dec 2019 09:53PM Dikemas Kini : 20 Dec 2019 09:58PM

JERTIH: Pernahkah anda melihat atau melalui pengalaman dihentam ombak setinggi bangunan lima tingkat dengan diiringi angin kencang?

Mungkin ia menjadi perkara menggerunkan bagi sesetengah orang namun berbeza dengan penduduk Pulau Perhentian kerana ia umpama asam garam dan cabaran pada setiap musim tengkujuh, malah ia pasti akan dirindui oleh anak tempatan.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pulau Perhentian Mohd Zakuan Mat Nasir berkata ombak besar itu boleh dilihat dari kawasan kampung dan ketika penduduk keluar ke laut untuk menangkap ikan atau dalam perjalanan ke daratan bagi mendapatkan bekalan makanan.

“Kami sudah biasa dengan angin kencang dan ombak besar tetapi bagi orang luar, ia akan jadi sesuatu yang menakutkan. Bagi kami yang lahir di sini, adakalanya dentuman ombak itu memberi gambaran untuk menduga bagaimana gelora di tengah laut dan sebolehnya mengelak jika bergerak dengan bot kecil.

“Kami yang tinggal di kawasan yang lebih dikenali Pulau Perhentian Kecil ini masih beruntung kerana terlindung di sebalik sebuah bukit yang berada di Pulau Perhentian Besar, yang mana ia mampu mengelak kerosakan teruk ke atas kawasan perumahan,” kongsi Mohd Zakuan.

Bukan cabaran itu sahaja tetapi menurut beliau, penduduk - yang rata-rata adalah nelayan dan pekerja di pusat peranginan - juga berdepan dengan kesukaran mendapatkan rawatan apabila berlaku kecemasan, kenaikan harga barang serta kesukaran mendapatkan wang tunai menerusi mesin pengeluaran wang (ATM).

(Gambar: BERNAMA)

(Gambar: BERNAMA)

Mohd Zakuan menambah pihak Kementerian Kesihatan ada menyediakan sebuah bot untuk membolehkan penduduk mendapatkan rawatan lanjut di hospital kerana kampung itu hanya mempunyai klinik untuk rawatan penyakit biasa.

Namun, menurut beliau, keadaan ombak bergelora kadang kala membahayakan pergerakan bot dan disebabkan itu, helikopter akan digunakan untuk menyalurkan bantuan serta membawa pesakit ke hospital terdekat.  

KENAIKAN HARGA BARANGAN

Mengenai kenaikan harga barang, Mohd Zakuan berkata penduduk reda dengan keadaan itu kerana maklum akan kesukaran peniaga untuk mendapatkan bahan mentah dan runcit dalam keadaan laut bergelora. Bahkan, sesetengah penduduk melakukan persiapan awal dengan membeli barang keperluan asas terutama beras, sardin, gas dan beberapa bahan makanan lain.

“Tambang bot untuk keluar lebih kurang RM25 (S$8) seorang tetapi dalam keadaan laut bergelora ini, tak banyak bot keluar masuk. Bekalan seperti ayam biasanya tiga kali ganda mahal daripada kawasan darat. Jangan terkejut jika makan roti canai di sini sekeping dalam RM6 (S$2),” katanya.

Tinjauan juga mendapati hanya ada satu sahaja mesin ATM di pulau tersebut dan dimaklumkan kerap ‘out of service’, yang memakan masa untuk dibaiki hingga menyebabkan penduduk mengalami kesukaran dalam urusan jual beli.

Mohd Zakuan berkata sudah sampai masanya perkhidmatan itu ditambah baik dan sekurang-kurangnya perlu ada tiga ATM kerana ia bukan sahaja digunakan oleh penduduk tetapi juga pelancong yang menginap di beberapa chalet milik penduduk.

Pada musim tengkujuh juga, golongan muda yang bekerja di Pulau Perhentian Besar akan keluar ke negeri lain untuk bekerja sambilan bagi memperolehi pendapatan dan meneruskan kelangsungan hidup.

Ini berikutan penutupan pusat peranginan bermula Oktober dan hanya akan dibuka semula pada Mac bagi menjaga keselamatan pelancong ekoran hujan lebat dan ombak kuat.

"Kebanyakan mereka akan ke Pulau Langkawi dan Johor tetapi ada juga yang bekerja sekitar Setiu dan bandar Kuala Terengganu sehingga pusat peranginan di sini beroperasi semula,” kata Mohd Zakuan.

Anak-anak penduduk kampung bermain di lorong kediaman mereka di Kampung Pulau Perhentian. (Gambar: BERNAMA)

(Gambar: BERNAMA)

Bertepatan dengan musim tengkujuh juga, kebanyakan penduduk biasanya memillih untuk keluar ke kawasan darat kerana lebih selamat dan mudah mendapatkan barang keperluan terutama bagi mereka yang mempunyai anak yang masih bersekolah.

KAWASAN PENEMPATAN SEMPIT

Selain itu, Mohd Zakuan turut membangkitkan kepadatan penduduk sekitar 2,300 orang di pulau berkenaan. Hal tersebut menyebabkan kawasan penempatan sempit, malah berlaku masalah saliran dan perparitan terutama apabila hujan lebat.

Bukan itu sahaja, penduduk mengalami masalah pemilikan tanah hingga kebanyakan daripada mereka terpaksa berkongsi sampaikan ada antaranya tinggal lima keluarga serumah, ujar beliau.   

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan