Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penduduk Palestin, polis Israel bertempur di Baitulmaqdis

Pasukan keselamatan Israel dan jemaah warga Palestin bertempur di Baitulmaqdis pada Ahad (11 Ogos) sedang perayaan serentak para penganut agama Yahudi dan Islam mencetuskan ketegangan di sana, menyebabkan puluhan warga Palestin dan empat anggota polis cedera.

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk Palestin, polis Israel bertempur di Baitulmaqdis

Warga Palestin larikan diri setelah polis Israel lepaskan bom bunyi di luar Kubah Al-Sahrah di pekarangan Baitulmakdis (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 12 Aug 2019 09:43AM Dikemas Kini : 12 Aug 2019 10:17AM

BAITULMAQDIS: Pasukan keselamatan Israel dan jemaah warga Palestin bertempur di Baitulmaqdis pada Ahad (11 Ogos) sedang perayaan serentak para penganut agama Yahudi dan Islam mencetuskan ketegangan di sana, menyebabkan puluhan warga Palestin dan empat anggota polis cedera.

Dalam satu insiden berasingan di sempadan Gaza, seorang warga Palestin menembak ke arah askar Israel yang membalas tembakan dan membunuhnya dalam kejadian ketiga seumpamanya sejak beberapa hari kebelakangan ini, menurut pihak tentera.

Kementerian kesihatan Hamas mengesahkan kematian warga Palestin itu.

Di Baitulmaqdis, polis melepaskan bom bunyi sedang tunjuk perasaan warga Palestin di Masjid Al-Aqsa semakin tegang, menurut seorang koresponen AFP.

Badan Bulan Sabit Merah melaporkan 61 warga Palestin cedera, 15 daripada mereka dibawa ke hospital.

Sementara itu pihak polis Israel menyatakan empat pegawai cedera apabila warga Palestin melontar batu dan objek-objek lain ke arah pasukan keselamatan yang kemudian bertindak balas dengan tindakan menyuraikan rusuhan.

Menurut polis, tujuh orang diberkas.

Ribuan warga Palestin bersembahyang di Masjid Al-Aqsa sempena Aidiladha pada Ahad.

Pada hari yang sama, penganut Yahudi menyambut perayaan Tisha B'av, yang lazimnya menyaksikan lebih ramai nasionalis Yahudi melawat tapak suci itu.

Dalam usaha untuk mengendurkan ketegangan, pihak polis pada awalnya menghalang lawatan Yahudi ke tapak itu pada Ahad. Namun para jemaah Muslim masih khuatir penganut Yahudi akan dibenarkan masuk lalu mengadakan tunjuk perasaan. Pertempuran dengan pihak polis menyusul.

'INI MASJID KAMI'

Selepas keadaan mula tenang dan ahli politik berhaluan kanan ekstrem Israel mengkritik pihak polis, pasukan keselamatan mula membenarkan penganut Yahudi melawat tempat itu, mencetuskan lagi pertempuran.

"Ini masjid kami, ini Eid kami," kata Assisa Abu Sneineh, 32 tahun yang berkata beliau berada di sana apabila pertempuran berlaku.

"Secara tiba-tiba (pasukan keselamatan) tiba dan mula melancarkan bom bunyi."

Menurut pertubuhan Muslim Waqf yang mentadbir tapak suci itu, sekitar 1,300 penganut Yahudi berkunjung pada Ahad.

Insiden-insiden pada Ahad berlaku hanya beberapa minggu sebelum pilihan raya Israel pada 17 September. Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dilihat sebagai ingin mengekalkan keamanan.

Namun pada masa yang sama beliau juga menghadapi tekanan oleh ahli politik berhaluan kanan ekstrem untuk membuka tapak suci itu kepada kunjungan Yahudi.

Insiden berasingan di sempadan Gaza pula adalah yang ketiga berlaku sejak awal bulan ini. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan