Images
  • gun
    Lebih 250 senjata pertama berjaya dikumpulkan di Christchurch. (Gambar: DOMINICK REUTER/AFP)

Penduduk NZ mula serah senjata susuli serangan masjid Christchurch

CHRISTCHURCH: Puluhan warga New Zealand mula menyerahkan senjata api mereka hari ini (13 Jul) sebagai menyokong operasi skim ‘beli balik’ senjata yang menyasar untuk membebaskan negara itu daripada senjata separa automatik menyusuli serangan terhadap dua masjid di Christchurch.

Skim yang bakal dilaksanakan di seluruh negara itu menyaksikan lebih 250 senjata pertama berjaya dikumpulkan di Christchurch, lokasi di mana 51 jemaah ditembak mati kurang empat bulan lalu.

Menyusuli insiden itu, pemerintah dengan sokongan parti pembangkang segera merangka rang baru yang bertujuan mengetatkan lagi undang-undang senjata di New Zealand.

Menurut Menteri Polis, Stuart Nash, tujuan utamanya adalah untuk "menghapuskan senjata paling berbahaya daripada pasaran".

Seramai 169 pemilik senjata api menyerahkan 224 senjata dan 217 bahagian serta aksesori senjata dengan dipantau polis bersenjata. .

Lebih NZ$433,600 (S$394,000) dibayar sebagai ganti rugi.

Menurut ketua polis serantau Mike Johnson, 903 pemilik senjata di kawasan Canterbury juga sudah mendaftarkan 1,415 senjata api untuk diserahkan.

Seorang penduduk, Ray Berard yang berpindah ke New Zealand dari Kanada 25 tahun lalu turut menyerahkan raifal gempur miliknya. Menurutnya kepada para wartawan beliau pernah berkhidmat dengan tentera Kanada dan menyertai pasukan menembak Kanada.

Bagaimanapun beliau berpendapat senjata api ala tentera, tiada tempat dalam masyarakat moden.

“Seorang individu mampu mencederakan ramai orang, lebih-lebih lagi jika anda ada masalah mental dan memiliki senjata yang mampu menembak 100 pusingan dalam tempoh seminit.”

Warga Australia, Brenton Tarrant didakwa membunuh dan dipercayai menggunakan lima senjata penggempur termasuk dua senjata separa automatik ala tentera ketika menyerang dua masjid di Christchurch.

Dia mengaku tidak bersalah atas tuduhan pengganasan, termasuk 51 dakwaan membunuh dan 40 cubaan membunuh. 

- AFP/NA/na

Top