Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penduduk kampung Terengganu berpesta ikan di musim tengkujuh

Musim tengkujuh yang sedang melanda kini bukan sahaja menyebabkan banjir, namun ia juga merupakan pesta ikan sungai dan ikan darat buat penduduk di Kampung Durian Pahit, Terengganu.

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk kampung Terengganu berpesta ikan di musim tengkujuh

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 30 Nov 2020 05:20PM Dikemas Kini : 30 Nov 2020 05:25PM

MARANG: Musim tengkujuh yang sedang melanda kini bukan sahaja menyebabkan banjir, namun ia juga merupakan pesta ikan sungai dan ikan darat buat penduduk di Kampung Durian Pahit, Terengganu.

Mana tidaknya, kebanyakan kawasan sawah padi dan paya di kampung tersebut akan menjadi lubuk ikan yang seterusnya membawa limpahan rezeki buat para penduduk.

Seorang penduduk kampung Mohd Suhaimi Mohd Hasan, 25, berkata sepanjang musim tengkujuh ini beliau berjaya menangkap ikan sungai dan ikan darat seperti kelah, patin, haruan, keli, puyu dan sepat sehingga 30 kilogram sehari.

“Kita perlu tahu di mana kawasan yang menjadi lubuk ikan. Selalunya ikan banyak berkumpul di kawasan berdekatan dengan tali air dan sungai serta kawasan paya yang berhampiran dengan hutan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Durian Pahit di sini.

Pemuda yang bekerja sendiri itu turut menjadikan aktiviti tersebut sebagai pendapatan tambahannya dengan menjual ikan-ikan yang ditangkap kepada penduduk kampung dan penduduk di sekitar Marang pada harga hanya RM10 hingga RM15 (S$3.30-S$4.90) sekilogram.

“Selalunya, 7 pagi saya sudah mula keluar mencari ikan dan akan ada penduduk yang sudah menunggu di tepi sawah atau paya untuk membeli. Kami juga menjual ikan-ikan sungai di tepi jalan atau melakukan penghantaran ke rumah pembeli yang tinggal di sekitar Marang,” katanya yang memperoleh keuntungan antara RM300 hingga RM400 (S$98.50-S$131.40) sehari hasil menjual ikan tersebut. 

Abu Aiman Musa, 31, berkata beliau tidak menjual ikan sungai yang ditangkap sebaliknya hanya dimakan seisi keluarga. 

“Saya tangkap atau memancing ikan di kawasan yang senang untuk sampai sahaja. Jadi hanya dapat dua hingga tiga kilogram sehari. Cukuplah dijadikan lauk-pauk untuk keluarga di musim tengkujuh ini.

“Hanya musim tengkujuh sahaja saya tangkap ikan hari-hari. Waktu lain kadang-kadang sahaja  kerana ikan hanya terdapat di kawasan tali air dan sungai,” katanya yang mula menangkap ikan sungai dan ikan darat sejak zaman kanak-kanak lagi.

Sementara itu Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Razak berkata aktiviti menangkap ikan di Kampung Durian Pahit dan kawasan sekitarnya sepanjang musim tengkujuh berpotensi dijadikan sebagai sebuah lagi produk pelancongan berasaskan komuniti di Marang.

“Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan penduduk kampung yang rata-ratanya bekerja sebagai petani. Selepas COVID-19 berakhir kita boleh mengajak pelancong datang ke kampung-kampung di Marang ini dan merasai sendiri pengalaman menangkap ikan sungai.

Pelancong terutama dari Eropah sangat meminati pakej pelancongan berasaskan pengalaman seumpama ini,” katanya.

Sumber : Bernama/SU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan