Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penduduk kampung di Johor gempar gara-gara bau busuk 'toksik'

Bau busuk seolah-olah bau 'toksik' menggemparkan penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong sehingga memaksa mereka keluar dari kediaman masing-masing pada tengah malam tadi (15 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BARU: Bau busuk seolah-olah bau 'toksik' menggemparkan penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong sehingga memaksa mereka keluar dari kediaman masing-masing pada tengah malam tadi (15 Sep).

Salah seorang penduduk Rubaiyah Mat Sam, 70 tahun, yang menyedari bau kuat sejak petang semalam (14 Sep) turut merasa pening-pening.

“Dari siang dah cakap dengan budak-budak, bau apa ini, bau najis ke...puas cari depan rumah...tapi tak ada apa pun.

“Dekat rumah dah ada rasa pening tapi tak tahu apa. Makcik dan dia (menantu) pening dah, jadi kami telan panadol,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Raya Kampung Sinaran Baru, Seelong awal pagi tadi.

Beliau yang tinggal bersama anak lelakinya, menantu dan dua cucu itu berkata dia hanya menyedari kehadiran bomba pada pukul 10.00 malam dan mendengar khabar ada berlakunya pembuangan toksik.

Beliau berkata pada tengah malam semalam bomba mengarahkan mereka keluar dari rumah untuk tinggal sementara di balai raya itu.

“Bila dengar pasal (ada pembuangan sisa) jadi risau sebab ada cucu umur tiga bulan. Tak tahu nak cari (kemas) apa sebab panik, cari baju tudung semua tak kena,” katanya lagi.

Seorang lagi penduduk Hafiz Badrul Hisham, 37, menyedari bau tersebut pada kira-kira pukul 8.30 malam.

“Saya terhidu bau yang tidak menyenangkan sehingga terasa sesak nafas. Jadi saya cuba mencari, kemungkinan bau petrol, lama kelamaan makin kuat baunya,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Sri Aman.

Apabila jiran tetangga keluar rumah, beliau berkata ada seorang wanita batuk lalu rebah, jadi beliau bergegas menghulurkan bantuan sementara menantikan ketibaan pasukan bomba.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa Mazlan Bujang berkata penduduk kampung berkenaan yang sebelum ini ditempatkan di balai raya berhampiran, kini ditempatkan semula ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru yang terletak kira-kira satu kilometer, memandangkan bau yang masih kuat.

“Kita telah uruskan makanan dengan segera dan juga tikar sebagainya untuk mereka tidur. Bila masih berbau, kita pindahkan mereka untuk keselamatan,” kata beliau ketika ditemui di kampung berkenaan pada malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 10.00 malam itu, dua wanita dalam lingkungan usia 20an dan 40an mengalami sesak nafas manakala 102 penduduk daripada 25 keluarga dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru.

Hasil siasatan awal, pihak bomba mengesyaki tumpahan yang ditemui di sungai berhampiran adalah metil alkohol, sejenis bahan buangan berjadual dengan kepekatan 120 ppm (bahagian per juta).

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan