Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penduduk Gaza lebih bimbang terhadap serangan bom dari risiko dijangkiti COVID-19

Sistem kesihatan Gaza yang semakin tertekan dek COVID-19, kini dibebani dengan ribuan yang cedera akibat konflik yang berlaku sekarang.

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk Gaza lebih bimbang terhadap serangan bom dari risiko dijangkiti COVID-19

Kanak-kanak Palestin menyelamatkan mainan dari rumah mereka yang hancur dalam serangan Israel pada 17 Mei 2021 (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 20 May 2021 12:38PM Dikemas Kini : 20 May 2021 12:49PM

GAZA: Seperti ribuan penduduk lain di Gaza, Cik Umm Jihad Ghabayin melarikan diri sehelai sepinggang dari rumah bersama dengan anak-anaknya daripada bedilan Israel - apatah lagi pelitup untuk melindungi diri daripada pandemik COVID-19 yang masih menular.

Sebagai tindak balas terhadap bedilan roket dari Gaza, Israel menyerang wilayah Palestin itu yang penuh sesak itu sejak 10 Mei, mengorbankan sekurang-kurangnya 219 orang, menurut kementerian kesihatan Gaza.

Sedang bangunan-bangunan runtuh akibat serangan tersebut, bahaya serangan udara lebih dikhuatiri daripada risiko dijangkiti COVID-19 bagi penduduk Gaza.

"Tentu saja saya takut dijangkiti koronavirus, tetapi akan lebih mudah (untuk menanganinya) daripada peluru berpandu Israel," kata ibu kepada enam anak tersebut.

"Peluru berpandu meragut nyawa," tambah salah seorang anaknya berusia lapan tahun, dengan tapak kakinya berdebu.

Serangan udara Israel telah memusnahkan prasarana utama termasuk air dan elektrik di Gaza, wilayah penuh sesak dan miskin yang menempatkan sekitar dua juta penduduk Palestin.

Setelah melarikan diri dari rumahnya, Cik Ghabayin berteduh di sebuah tempat perlindungan sementara di sekolah yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di mana beliau berasa lebih selamat daripada serangan - tetapi akur risiko penularan COVID-19 adalah tinggi.

"Sejak kami tiba di sini pada Jumaat, kami belum mandi pun," kata Cik Ghabayin, 34 tahun, kepada AFP. "Bekalan air terputus selama berjam-jam, tiada kebersihan sama sekali."

'TAPAK PENULARAN' COVID-19

Di sekolah-sekolah yang dijadikan sebagai tempat perlindungan sementara dan di jalan raya Gaza yang musnah akibat serangan bom, hanya segelintir saja yang terfikir untuk memakai pelitup.

"Serangan berterusan Israel melemahkan usaha kita untuk melawan koronavirus," kata Ashraf al-Qudra, jurucakap kementerian kesihatan di Gaza.

Gaza, di bawah kawalan Israel sejak 2007, mencatat sebilangan kes COVID-19 pada bulan-bulan awal wabak tersebut menular.

Akses ke wilayah itu dikawal ketat oleh Israel dan Mesir dan langkah-langkah yang dikenakan oleh Hamas pada awalnya memperlahankan penularan virus tersebut.

Bagi masyarakat miskin dengan prasarana kesihatan yang sangat lemah, usaha membendung penularan virus akan menjadi semakin sulit dan mencabar.

Sebelum ketegangan semakin memuncak, kadar ujian positif di Gaza adalah antara yang tertinggi di dunia, pada paras 28 peratus, dengan hospital-hospital dibanjiri dengan pesakit.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 100,000 orang diuji positif COVID-19 di Gaza, di mana lebih 930 orang meninggal dunia.

Encik Adnan Abou Hasna, jurucakap agensi PBB bagi pelarian Palestin, UNRWA, berkata sekolah-sekolah yang dijadikan tempat perlindungan sementara untuk lebih 40,000 penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal berpotensi menjadi "tapak penularan" koronavirus.

Meskipun kemudahan mencuci tangan dan kebersihan lain disediakan, beliau akur langkah-langkah ini tidak mencukupi.

TIDAK DAPAT TERUS BERTAHAN

Pada Isnin, serangan Israel memusnahkan sebuah klinik, ibu pejabat kementerian kesihatan dan satu-satunya makmal di Gaza yang menjalankan ujian COVID-19.

Dua doktor turut terkorban.

Sebelum berlaku konflik antara Hamas dan Israel seminggu lalu, pihak berkuasa di Gaza menguji purata 1,600 orang setiap hari.

Melindungi prasarana perubatan dan pekerja kesihatan adalah "keutamaan dalam semua keadaan apapun", tegas ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Isnin.

"Adalah mustahak bahawa piawai kemanusiaan antarabangsa dihormati sepenuhnya," tegasnya lagi.

Konflik tersebut juga menghambat pengagihan vaksin, dengan penduduk Gaza bergantung pada perolehan dari Penugasa Palestin yang berpusat di Tebing Barat, yang perlu mengirimkan stok melalui wilayah Israel.

Pandemik itu melumpuhkan sistem kesihatan Gaza yang sebelum ini sudahpun semakin tertekan, sedang ia berusaha merawat lebih 1,500 orang yang cedera akibat serangan Israel, menurut statistik kementerian kesihatan.

Unit-unit yang sebelum ini diperuntukkan untuk pesakit koronavirus harus disusun semula untuk menangani para pesakit yang semakin meningkat akibat konflik terbaru ini.

Encik Salem Al-Attar, 38 tahun, yang berlindung di sekolah UNRWA setelah rumahnya musnah dalam serangan udara, berkata beliau bimbang keadaan yang peuh sesak akan menularkan virus dengan pantas.

"Keadaannya sangat buruk," kata bapa kepada enam orang anak itu.

Di seberang halaman sekolah, Cik Umm Mansour al-Qurum menitiskan air mata setelah menerima panggilan telefon dari jirannya mengenai separuh dari rumahnya yang musnah akibat serangan itu.

"Keadaan ini tidak boleh dibiarkan begitu saja - koronavirus dan perang yang berlaku serentak," kata wanita berusia 65 tahun itu, yang melarikan diri bersama dengan 30 anggota keluarganya. "Saya tidak boleh bertahan lagi".  

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan