Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pencemaran udara Pasir Gudang: 3 sekolah, 2 tadika ditutup

Tiga sekolah dan dua tadika di kawasan Pasir Gudang ditutup selama dua hari, bermula esok (23 Jun)bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan pemantauan lanjut berhubung insiden sesak nafas membabitkan 15 orang murid di kawasan itu pada Khamis.

Anggaran Waktu Membaca:
Pencemaran udara Pasir Gudang: 3 sekolah, 2 tadika ditutup

(Gambar: Thomas Yong/AP)

Diterbitkan : 22 Jun 2019 10:23PM Dikemas Kini : 22 Jun 2019 10:26PM

JOHOR BAHRU: Tiga sekolah dan dua tadika di kawasan Pasir Gudang ditutup selama dua hari, bermula esok (23 Jun)bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan pemantauan lanjut berhubung insiden sesak nafas membabitkan 15 orang murid di kawasan itu pada Khamis.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata keputusan untuk menutup sekolah dan tadika itu dibuat oleh jawatankuasa teknikal kes itu dan akan membabitkan Sekolah Agama Taman Mawar (tempat di  mana kejadian berlaku), Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 2. 

Dua tadika itu pula - Tadika Pasti dan Tadika Pintar Bestari. 

“Semua sekolah dan tadika ini berada dalam radius antara 100 hingga 800 meter dari Sekolah Agama Taman Mawar.

“Kita menutupnya sebagai langkah berjaga-jaga kerana ini juga melibatkan budak kecil (murid tadika),” kata Mohd Khuzzan yang menambah terdapat lebih 3,000 orang (termasuk guru) berada di sekolah dan tadika itu. 

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Operasi Pemantauan, Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) hari ini (22 Jun).

Encik Mohd Khuzzan berkata setakat hari ini, radius kawasan yang dipantau oleh pasukan pemantauan kualiti udara yang ditubuhkan adalah sejauh 1.1 kilometer dari tempat kejadian namun didapati tahap bacaan kualiti udara di kawasan itu masih normal.

“Oleh itu, pemantauan akan diteruskan sehingga Isnin (24 Jun) sementara menunggu laporan siasatan pihak berkaitan berhubung puncanya,” katanya. 

Beliau juga memaklumkan sehingga kini, tiada panggilan susulan diterima pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berhubung insiden sama.

“Cuma pada tengah hari semalam selepas selesai sahaja sidang media yang kami lakukan, dua mangsa baru dilaporkan telah menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail. 

“Mangsa ialah pelajar lelaki dan perempuan berusia 11 tahun dari sekolah agama terbabit tetapi seorang daripadanya ada asma. Enam lagi mangsa yang dimasukkan ke wad hospital itu lebih awal pula telah pun dibenarkan pulang,” kata beliau. 

Sumber : Bernama/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan