Images
  • pasir gudang lpg
    (Gambar: Bernama)

Pencemaran udara Pasir Gudang: 29 pelajar terima rawatan

KUALA LUMPUR: Seramai 29 pelajar di sekitar Pasir Gudang yang mengalami sesak nafas mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru sejak petang semalam hingga 10.00 pagi tadi (21 Jun), kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 16 orang adalah dari Sekolah Agama Taman Mawar, iaitu 14 pelajar dan dua dewasa manakala 13 orang lagi dari Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4.

"Seramai 14 mangsa telah dirawat sebagai pesakit luar dan 15 mangsa diberi rawatan di HSI, dengan enam daripadanya dimasukkan ke wad. Keadaan kesemua pesakit adalah stabil. Tiada kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kematian dicatat.

"Jabatan Kesihatan Negeri Johor masih melakukan pemantauan di lapangan berikutan kejadian yang berlaku. Klinik Kesihatan Pasir Gudang turut dibuka pagi ini bagi merawat mangsa-mangsa lain yang mungkin terkesan susulan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Noor Hisham turut menasihati orang ramai agar segera mendapatkan rawatan di kemudahan kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala sesak nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan.

Kementerian Kesihatan Malaysia bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam menguruskan kejadian itu dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor melaporkan kejadian pelajar sekolah mengalami gejala sesak nafas di Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang.

Panggilan kecemasan diterima pada 3.00 petang dan pasukan bantuan kecemasan dari Hospital Sultanah Aminah, HSI dan Klinik Kesihatan Pasir Gudang dikerah untuk memberi bantuan.

Operasi bantuan rawatan kecemasan tamat pada 8.00 malam tadi, bagaimanapun, punca kejadian masih belum dapat dikenal pasti.

LAPORAN BERKAITAN:

- Bernama/ZM/zm

Top