Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pencemaran Pasir Gudang: Pelajar 4 sekolah jatuh sakit lagi

Seramai 11 pelajar dari empat sekolah di Pasir Gudang dilaporkan mengalami lagi simptom pening, loya dan muntah pada Ahad (7 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Pencemaran Pasir Gudang: Pelajar 4 sekolah jatuh sakit lagi

(Gambar: Thomas Yong/AP)

Diterbitkan : 08 Jul 2019 08:10AM Dikemas Kini : 08 Jul 2019 08:12AM

JOHOR BAHRU: Seramai 11 pelajar dari empat sekolah di Pasir Gudang dilaporkan mengalami lagi simptom pening, loya dan muntah pada Ahad (7 Jul).

Pelajar-pelajar itu adalah dari Sekolah Kebangsaan Kota Masai 2, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai, SMK Tanjung Puteri Resort dan SMK Pasir Putih yang sebelum ini pernah dilanda simptom sama.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Mohd Khuzzan berkata semua pelajar bagaimanapun direhatkan di 'sick bay' atau bilik kecemasan sekolah dan tiada mangsa yang mendapatkan rawatan saringan di Klinik Kesihatan Pasir Gudang serta Klinik Kesihatan Masai setakat 4.00 petang semalam.

Selain itu, beliau menambah tiada pesakit baru dimasukkan ke wad hospital dan keadaan masih terkawal.

Menurut Encik Mohd Khuzzan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada masa yang sama sudahpun menjalankan pemeriksaan terhadap 212 premis industri di Pasir Gudang dan mengeluarkan 108 kompaun bagi kesalahan buangan terjadual, 10 kompaun kerana efluen perindustrian dan satu kompaun berkaitan kumbahan (tangki septik).

Sebanyak 51 notis arahan, 11 perintah tahan operasi dan tiga syor tindakan mahkamah turut dilakukan.

Seminggu lalu, lebih 100 mangsa dihantar bagi menjalani rawatan perubatan akibat pencemaran di Pasir Gudang.

Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal, mengumumkan pada Ahad di Perhimpunan Negeri Johor bahawa kerajaan negeri sedang mempertimbangkan pemindahan kilang-kilang kimia berisiko tinggi dan mewujudkan zon pemisah antara kawasan-kawasan perindustrian dengan perumahan.

Ia akan membentuk sebahagian daripada rancangan pembangunan bandar mampan bagi Pasir Gudang, satu langkah jangka panjang untuk menangani pencemaran alam sekitar di kawasan tersebut.

Dr Sahruddin juga menolak dakwaan bahawa beliau tidak memandang serius isu pencemaran Pasir Gudang dan mengatakan bahawa kerajaan sudahpun memperuntukkan RM6.4 bilion (S$2.1 bilion) bagi pembersihan sisa toksik di Sungai Kim Kim.   

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan