Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pencemaran Pasir Gudang: 10 pelajar dirujuk ke hospital pada Ahad

Sepuluh pelajar dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) berikutan gangguan kesihatan melibatkan simptom muntah-muntah dan sesak nafas di 27 sekolah di Pasir Gudang pada Ahad (30 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Pencemaran Pasir Gudang: 10 pelajar dirujuk ke hospital pada Ahad

Semua institusi pendidikan yang terletak di Pasir Gudang ditutup mulai Selasa. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 01 Jul 2019 04:35PM Dikemas Kini : 01 Jul 2019 04:38PM

JOHOR BAHRU: Sepuluh pelajar dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) berikutan gangguan kesihatan melibatkan simptom muntah-muntah dan sesak nafas di 27 sekolah di Pasir Gudang pada Ahad (30 Jun).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata 273 orang terjejas termasuk tiga guru. Selepas direhatkan seramai 101 daripada jumlah itu dihantar ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan Klinik Kesihatan Masai untuk mendapatkan rawatan saringan.

“Sepuluh orang pelajar berusia antara 10 hingga 12 tahun daripada jumlah mereka yang mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas, dirujuk ke HSI untuk pemeriksaan lanjut.

“Hanya tiga sahaja kemudiannya dirawat di wad,” katanya kepada pemberita dalam sidang media hari ini.
Setakat 9.30 pagi ini, tiada mangsa baharu dilaporkan, kata Encik Mohd Khuzzan.

Beliau berkata semua pegawai daripada agensi terlibat kini memantau mutu udara di 85 sekolah yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ untuk mengetahui punca kejadian terbaru itu.

“Jadi hari ini kita nak lihat bacaan sehingga pukul 1.00 tengah hari ini. Kita nak lihat bacaan sebenar di kawasan Pasir Gudang di semua sekolah, yang kita lihat majoriti yang terlibat adalah murid-murid sekolah,” kata beliau.

Pembacaan mutu udara yang diambil dalam masa yang sama dan serentak akan ditumpukan di tingkat tiga dan empat bangunan sekolah, katanya.

Dalam masa yang sama, Encik Mohd Khuzzan berkata pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan dalam penyingkiran bahan-bahan sisa industri di tempat yang berhampiran dengan taman perumahan dan sekolah.

“Pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan membuat pemeriksaan inventori di 250 premis kilang yang mengendalikan bahan-bahan kimia yang ada di Pasir Gudang untuk memastikan mereka mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan,” kata beliau.

Selain itu, pihak Kementerian Kesihatan turut membentuk 18 pasukan pertolongan cemas yang akan memberikan pendidikan awal menjaga kebersihan diri di sekolah-sekolah.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan