Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pencemaran kimia Pasir Gudang: 2,775 orang terjejas, tiada isytihar darurat buat masa ini

Kerajaan Malaysia sedang mengenal pasti pihak terlibat dan bersalah dalam pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang yang sehingga kini menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam di kawasan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Mar 2019 11:51PM Dikemas Kini : 25 Apr 2019 06:11AM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia sedang mengenal pasti pihak terlibat dan bersalah dalam pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang yang sehingga kini menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam di kawasan itu.

Perkara itu ditegaskan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semasa satu sidang media selepas melawat mangsa-mangsa pencemaran kimia yang dirawat di Hospital Sultan Ismail di pasir Gudang, Johor pada Khamis (14 Mac).

Kejadian yang bermula pada 7 Mac itu kini terkawal selepas pelbagai agensi kerajaan yang dikerahkan segera secara bersepadu ke kawasan terjejas bagi menjalankan usaha menangani masalah tersebut dan memberikan rawatan terbaik kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Antara agensi Kerajaan Persekutuan yang terlibat dalam menangani kejadian pencemaran sisa bahan kimia itu adalah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar.

Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat), Jabatan Pengaliran dan Saliran serta Kementerian Pendidikan Malaysia turut terlibat dalam operasi pengurusan krisis tersebut.

Sehingga kini, seramai 2,775 orang dirawat di beberapa hospital di Johor akibat pencemaran kimia dengan tujuh daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi.

Kejadian itu turut menyebabkan Kementerian Pendidikan mengarahkan penutupan semua 111 sekolah di daerah Pasir Gudang sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan pelajar dan guru.

Sejumlah 92 tadika dan taman asuhan kanak-kanak di kawasan terjejas juga sudah mengambil tindakan sama bagi mengelakkan peningkatan jumlah mangsa.

Bagi memastikan jumlah mangsa berada pada tahap terkawal, kerajaan negeri telah mengambil pemantauan udara secara berkala dalam memastikan orang ramai sentiasa mengikuti perkembangan semasa berkenaan insiden itu. 

Pada masa sama, penduduk dinasihati agar lebih peka dengan persekitaran dan mengikut arahan pihak berkuasa daripada masa ke masa memandangkan usaha melakukan pembersihan pencemaran toksik itu sudahpun dimulakan.

Sementara itu, kecekapan dan kepakaran agensi-agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri terutama petugas perubatan dan keselamatan turut mendapat pujian Perdana Menteri kerana berjaya mengawal kesan pencemaran daripada menjadi lebih teruk.

"Mereka telah menjalankan tugas dengan sempurna walaupun kes seperti ini tidak pernah berlaku tetapi nampak dari segi bomba, polis, hospital sekolah dan lain lain, mereka telah menangani masalah ini dengan cekap dan berhasil,” kata Dr Mahathir, yang turut menyifatkan kecekapan doktor dan petugas perubatan sebagai 'luar biasa' kerana sedar dan tahu bagaimana menangani 'gas beracun' seperti itu.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin ketika menjawab soalan berhubung perkara itu di Parlimen pada Khamis (14 Mac) menegaskan bahawa kementeriannya komited untuk menyiasat insiden itu sehingga akar umbi dan membawa mereka yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran itu ke muka pengadilan.

TIDAK PERLU ISYTIHARKAN DARURAT BENCANA

Sementara itu, Dr Mahathir Mohamad turut menegaskan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana di Pasir Gudang memandangkan situasi pencemaran ekoran pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim dalam keadaan terkawal.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak untuk terus berhati-hati memandangkan situasi pencemaran masih belum berakhir.

“Tidak... belum sampai tahap itu (darurat). Kita tidak perlu isytihar darurat, tidak perlu pemindahan, tetapi kita perlu berhati-hati.

"(Dan) mereka yang ditugaskan untuk mengawal keadaan ini mesti bersedia menangani masalah (kesan pencemaran) yang berlaku."

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya sama ada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana dan keperluan untuk memindahkan penduduk dari kawasan zon bencana ekoran pencemaran berkenaan.

Ketika ditanya sama ada yang terburuk sudah berakhir berdasarkan bilangan mangsa akibat kesan pembuangan kimia secara haram Khamis (7 Mac), Dr Mahathir berkata: "Kita tidak boleh mengatakan yang terburuk sudah berakhir.

"Sebaliknya, kita tidak fikir ia akan menjadi lebih serius daripada sekarang. Tetapi yang penting ialah mereka tahu bagaimana menangani masalah ini." 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan