Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penamaan Calon PRU14 bermula 9.00 pagi; 222 pusat seluruh M’sia

Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlangsung hari ini (28 Apr) bermula dari 9.00 pagi hingga 10.00 pagi di 222 pusat penamaan calon di seluruh Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
Penamaan Calon PRU14 bermula 9.00 pagi; 222 pusat seluruh M’sia

Gambar: Fadza Ishak

Diterbitkan : 28 Apr 2018 07:44AM Dikemas Kini : 28 Apr 2018 07:50AM

KUALA LUMPUR: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlangsung hari ini (28 Apr) bermula dari 9.00 pagi hingga 10.00 pagi di 222 pusat penamaan calon di seluruh Malaysia.

Ia membabitkan sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Sarawak sudahpun mengadakan pemilihan anggota DUN pada 2016.

Parlimen dibubarkan pada 7 April lalu bagi memberi laluan kepada PRU14 yang disifatkan pemerhati politik sebagai ‘ibu segala pilihan raya’ akan menyaksikan pertembungan utama antara BN yang ditunjangi UMNO dengan pakatan pembangkang yang diketuai oleh DAP.

Susulan pembubaran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon hari ini dan pengundian awal pada 5 Mei dan hari pengundian 9 Mei.

Pada jam 10.00 pagi nanti, pegawai pilihan raya akan mengumumkan nama calon-calon yang layak. Seseorang calon yang layak akan menang kerusi jika tidak ditandingi calon lain dan nama-nama mereka akan diumumkan pegawai pilihan raya.

Tiada tempoh bantahan akan diperuntukkan.

Cuaca pada sebelah pagi diramalkan cerah di kebanyakan negeri.

Namun hujan diramalkan berlaku pada sebelah pagi di Sarawak meliputi kawasan Parlimen Sri Aman, Tanjong Manis, Hulu Rajang, Sibuti, Baram, Lawas, Lubok Antu, Igan, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang, menurut Jabatan Meteorologi.

Hujan turut diramal berlaku di beberapa kawasan di Sabah pada sebelah pagi meliputi kawasan Parlimen Beaufort, Kinabatangan, Sipitang, Sandakan dan Silam serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Di Perak, hujan pada sebelah pagi diramal berlaku di kawasan Parlimen Larut, Bagan Serai, Lumut dan Parit Buntar manakala kawasan Parlimen Semberong di Johor turut diramal hujan pada sebelah pagi.

Menurut media tempatan, lebih 5,000 borang pencalonan sudah dijual lantas pilihan raya kali ini dijangka sengit.

Sehari sebelum hari penamaan calon, Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak berkata calon-calon BN yang disenaraikan untuk PRU14 dinilai dengan rapi sejak lima tahun lalu dan bukannya baru dinilai sejak "sebulan dua ini".

BN dijangka berdepan dengan Pakatan Harapan dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dalam beberapa pertandingan tiga penjuru di seluruh negara.

Parti-parti akan mula berkempen mulai hari ini, selama tempoh 11 hari sebelum 14.9 juta rakyat Malaysia keluar mengundi pada 9 Mei.

Sumber : Bernama/CNA/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan