Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemimpin Uighur gesa G20 tambah tekanan terhadap China hentikan 'penghapusan kaum'

Seorang pejuang hak kaum minoriti Uighur, yang dibuang negeri, pada Jumaat (28 Jun) menggesa pemimpin dunia yang berhimpun di Jepun bagi Sidang Puncak G20 untuk bersemuka dengan Presiden China Xi Jinping berhubung "penghapusan kaum" Muslim.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin Uighur gesa G20 tambah tekanan terhadap China hentikan 'penghapusan kaum'

Tunjuk perasaan menyeru negara anggota G20 ambil tindakan berhubung kaum Uighur (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 28 Jun 2019 11:39PM Dikemas Kini : 28 Jun 2019 11:43PM

OSAKA: Seorang pejuang hak kaum minoriti Uighur, yang dibuang negeri, pada Jumaat (28 Jun) menggesa pemimpin dunia yang berhimpun di Jepun bagi Sidang Puncak G20 untuk bersemuka dengan Presiden China Xi Jinping berhubung "penghapusan kaum" Muslim.

Bercakap kepada para wartawan di luar mesyuarat di Osaka, Rebiya Kadeer berkata tekanan sengit dari negara-negara dunia penting untuk membebaskan sekitar sejuta orang yang kebanyakannya adalah kaum etnik Uighur, yang ditahan dalam kem-kem di barat China.

"Seluruh masyarakat Uighur sedang menghadapi ancaman kewujudan mereka dan ia amat benar dan nyata," kata ketua Kongres Uyghur Sedunia berusia 72 tahun itu menerusi seorang penterjemah.

Para pegawai China menyifatkan kem-kem tersebut sebagai "pusat pendidikan kejuruan" sukarela di mana kaum Uighur yang bertutur bahasa Turkic mendapat latihan kerja.

Namun kumpulan-kumpulan hak asasi dan bekas tahanan menyifatkan pusat-pusat tersebut sebagai "kem tahanan" di mana anggota masyarakat Uighur dan kaum minoriti lain ditindas dan dipaksa menerima masyarakat etnik majoriti Han di China.

Cik Rebiya berkata warisan Uighur akan pupus jika "tindakan tegas" tidak diambil oleh rakan-rakan dagang China.

"Saya menyeru negara-negara Eropah yang bergantung secara ekonomi kepada China untuk sedar dan bangkit menentang pembunuhan kaum Uighur di China dan mengambil langkah praktikal secara serta-merta."

Lebih 100 penunjuk perasaan kemudian berkumpul di Osaka untuk membantah kem-kem tersebut selain langkah-langkah di Hong Kong untuk menyekat kebebasan bersuara di bandar itu.

Kehadiran Cik Rebiya di Osaka mencetuskan kemarahan China yang melabel beliau sebagai seorang pemisah berbahaya dan sebelum ini mengutuk Jepun kerana membenarkan beliau memasuki negara itu.

Cik Rebiya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, tuan rumah Sidang Puncak G20, kerana tidak tunduk kepada Beijing.

Xinjiang adalah sebuah wilayah terpencil dan kaya dengan sumber asli di bahagian tengah Asia yang lama dibelenggu ketegangan atas dakwaan penindasan pemerintah China terhadap kaum Uighur.

Cik Rebiya adalah seorang ahli niaga yang disanjungi di Xinjiang pada tahun 1990-an oleh China dan ini dijadikan sebagai bukti bahawa dasar negara itu baik untuk kaum-kaum minoriti.

Namun beliau mula tidak sehaluan dengan pihak berkuasa dan dipenjara selama enam tahun selepas melaporkan tentang penindasan masyarakat Uighur.

Beliau kemudian dibebaskan dan meninggalkan China pada 2005 dan menetap di Amerika Syarikat dan menjadi pemimpin Kongres Uyghur Sedunia yang memperjuangkan budaya masyarakat Uighur.

China menuduhnya mengapi-apikan rusuhan Uighur di Xinjiang pada 2009 yang membunuh sekurang-kurangnya 197 orang, menurut media pemerintah.

Beliau bagaimanapun menolak dengan keras tuduhan itu.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan