Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemimpin S'pura utus takziah kepada Jokowi, keluarga mangsa tragedi kapal selam karam

Presiden Singapura Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengutuskan kawat takziah kepada Presiden Indonesia Joko Widodo atas pemergian 53 anak kapal yang terkorban apabila kapal selam mereka karam.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin S'pura utus takziah kepada Jokowi, keluarga mangsa tragedi kapal selam karam

(Gambar: Facebook/Pusat Penerangan TNI)

Diterbitkan : 26 Apr 2021 11:32PM Dikemas Kini : 26 Apr 2021 11:34PM

SINGAPURA: Presiden Singapura Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengutuskan kawat takziah kepada Presiden Indonesia Joko Widodo atas pemergian 53 anak kapal yang terkorban apabila kapal selam mereka karam.

Dalam surat yang diterbitkan oleh Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) pada Isnin (26 Apr), Puan Halimah mengucapkan "takziah yang mendalam" kepada rakyat Indonesia "bagi pihak rakyat Singapura.

"Saya bersedih dengan kehilangan nyawa 53 anak kapal yang disebabkan oleh tenggelamnya kapal selam KRI Nanggala 402," kata Puan Halimah.

Kapal selam itu hilang semasa menjalankan latihan torpedo di perairan dekat bahagian utara Bali pada Rabu lalu.

Kesemua 53 anak kapal disahkan terkorban oleh tentera Indonesia setelah kapal selam yang karam itu ditemui pada Ahad.

"Kami berdoa dan berharap agar mereka dapat diselamatkan tetapi ternyata sebaliknya.

"Ini adalah masa yang mencabar bagi rakyat Indonesia dan keluarga serta orang-orang tersayang mangsa, yang menunaikan kewajipan dan tanggungjawab kepada ibu pertiwi mereka ketika kemalangan itu berlaku," kata Puan Halimah.

"Doa dan ingatan saya ditujukan kepada keluarga dan orang-orang tersayang anak kapal atas kehilangan mereka yang sangat menyayat hati dan semoga mereka mendapat ketenangan di bulan Ramadan ini."

Dalam suratnya kepada Encik Widodo, PM Lee berkata beliau berduka atas kehilangan nyawa yang tragik itu dan mengucapkan "takziah yang tulus ikhlas" kepada keluarga dan orang-orang tersayang anak kapal yang terjejas dengan kejadian yang "meruntun hati" itu.

"MV Swift Rescue menyertai operasi mencari dan menyelamat yang diterajui oleh pemerintah anda. Singapura bersedia untuk memberikan bantuan selanjutnya jika diperlukan," kata PM Lee.

"Rasa simpati dan ingatan saya adalah bersama rakyat Indonesia dalam masa duka ini."

Fakulti Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS) di Universiti Teknologi Nanyang (RSIS) turut mengucapkan takziah atas pemergian Leftenan Kolonel Heri Oktavian, anggota alumni universiti itu yang juga merupakan komander kapal selam tersebut.

Lt Kol Oktavian adalah penuntut pos siswazah di RSIS pada 2014 dan berjaya meraih Sarjana Sains dalam Kajian Strategik, menurut sekolah itu pada Isnin.

Beliau bertugas sebagai komander KRI Nanggala 402 sejak April tahun lalu, menurut laporan media Indonesia.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan