Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemimpin pemberontak Congo dijatuhi hukuman mati

Mahkamah tentera di timur Republik Demokratik Congo (DRC) yang bergolak, menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang pemimpin pemberontak.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin pemberontak Congo dijatuhi hukuman mati

Tentera Congo. (Gambar: AFP).

Diterbitkan : 15 Jan 2018 02:23PM Dikemas Kini : 15 Jan 2018 02:28PM

KINSHASA: Mahkamah tentera di timur Republik Demokratik Congo (DRC) yang bergolak, menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang pemimpin pemberontak.

Pemimpin Mayi-Mayi, Guylain Mumbere Kitambala, yang didakwa memiliki senjata haram dan menyertai satu gerakan pemberontak, dikenakan "hukuman mati” menurut satu penghakiman yang dikeluarkan di bandar Beni oleh Mahkamah Tentera wilayah Kivu Utara.  

16 lagi tertuduh yang didakwa bersama-sama Kitambala dijatuhi hukuman penjara antara tiga hingga 15 tahun.  

Hukuman mati tidak pernah diguna pakai di DRC sejak 2002 berikutan satu moratorium (penggantungan atau penangguhan sesuatu kegiatan secara persetujuan bersama).  

Mayi-Mayi adalah kumpulan bela diri yang dibentuk berdasarkan etnik.  

Timur DRC, terutama wilayah Kivu Utara dan Kivu Selatan, dilanda keganasan selama lebih 20 tahun.  

Sementara itu, tentera Congo melancarkan serangan ke atas kumpulan pemberontak bersenjata, Angkatan Demokrat Bersekutu (ADF) di timur bandar Beni pada Sabtu, yang dipersalah dalam satu serangan yang meragut 15 nyawa anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bulan lepas. 

Operasi itu adalah sebahagian daripada usaha bersama oleh DRC dan Uganda ke atas kumpulan tersebut selepas ADF disyaki menyerang satu pangkalan tentera yang dikawal anggota pengaman dari Tanzania. 

Serangan itu, yang turut mengorbankan lima tentera Congo serta mencederakan 53 anggota pengaman lain, berlaku di tengah-tengah gelombang keganasan yang semakin meningkat di kawasan yang kaya dengan bahan galian. 

Keganasan militan di seluruh negara meningkat berikutan keengganan Presiden Joseph Kabila meletak jawatan setelah mandat beliau berakhir lebih setahun lepas, dan ini menimbulkan kebimbangan Congo mungkin terjerumus ke dalam peperangan secara habis-habisan sekali lagi. 

ADF Islam sudah lama bergerak aktif di sepanjang sempadan Congo-Uganda dan dipersalah dalam beberapa insiden pembunuhan beramai-ramai. 

Bulan lepas Uganda melancarkan serangan udara dan artileri ke atas kubu-kubu ADF. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan