Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemimpin Pakatan Harapan gesa rakyat ketepikan retorik rosakkan perpaduan

Rakyat tanpa mengira pangkat dan latar belakang digesa mengetepikan retorik yang merosakkan perpaduan dan menyanggah polemik yang berniat membinasakan negara, menurut kenyataan bersama pemimpin empat parti komponen Pakatan Harapan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin Pakatan Harapan gesa rakyat ketepikan retorik rosakkan perpaduan

Gambar fail Anuwar Ibrahim. (Gambar: Edgar Su/Reuters)

Diterbitkan : 16 Aug 2019 07:56AM Dikemas Kini : 16 Aug 2019 07:58AM

KUALA LUMPUR: Rakyat tanpa mengira pangkat dan latar belakang digesa mengetepikan retorik yang merosakkan perpaduan dan menyanggah polemik yang berniat membinasakan negara, menurut kenyataan bersama pemimpin empat parti komponen Pakatan Harapan.

Kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis (15 Ogos) turut meminta rakyat menolak politik yang hanya mementingkan kelompok kecil dan bukannya kemaslahatan umum.

"Pelbagai isu menjadi perbualan rakyat mutakhir ini antaranya cabaran ekonomi, persoalan persepsi kaum atau agama, pendidikan khat serta isu pembangunan dengan rakyat lebih mudah menyuarakan pandangan melalui media sosial mahupun media arus perdana.

"Malaysia adalah negara majmuk yang amat memerlukan keharmonian dan kerukunan hidup antara satu sama lain, dengan rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya dan ia mesti dipertahankan serta dihormati oleh semua lapisan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat Encik Anwar Ibrahim, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Encik Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.

“Tatkala kita bakal menyambut Hari Merdeka ke-62 dan Hari Malaysia ke-56 tahun ini, seharusnya kita mengambil kesempatan yang ada untuk bermuhasabah akan kejayaan yang telah kita capai bersama serta cabaran-cabaran yang masih perlu ditempuhi demi membina sebuah negara yang bersih, adil dan berjaya.

“Apa yang rakyat Malaysia nikmati pada hari ini sudah pasti akan dapat terus dinikmati bila masa rakyat terus bersatu padu, mengukuh muafakat, serta menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan menegak negara hukum.

“Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyahut seruan YAB Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk melipatgandakan usaha untuk memastikan negara kita yang tercinta ini akan terus kekal sebagai sebuah negara yang makmur, dihormati dan disegani oleh semua," katanya.  

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan