Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemimpin Lubnan diberi amaran seawal Julai tentang bahan letupan di pelabuhan

Para pegawai keselamatan Lubnan memberi amaran kepada perdana menteri dan presiden negara itu pada bulan lalu bahawa 2,750 tan ammonium nitrat yang disimpan di sebuah pelabuhan di Beirut boleh menimbulkan ancaman keselamatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin Lubnan diberi amaran seawal Julai tentang bahan letupan di pelabuhan

Keadaan Beirut selepas letupan dahsyat yang melanda ibu kota Lubnan itu. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 11 Aug 2020 10:24AM Dikemas Kini : 11 Aug 2020 10:30AM

BEIRUT: Para pegawai keselamatan Lubnan memberi amaran kepada perdana menteri dan presiden negara itu pada bulan lalu bahawa 2,750 tan ammonium nitrat yang disimpan di sebuah pelabuhan di Beirut boleh menimbulkan ancaman keselamatan dan menimpakan kerosakan besar di ibu negara itu jika ia meletup, menurut dokumen yang dilihat oleh Reuters dan sumber keselamatan kanan.

Hanya dua minggu selepas itu, bahan-bahan kimia perindustrian itu meledak dalam satu letupan dahsyat yang memusnahkan sebahagian besar pelabuhan itu, mengorbankan sekurang-kurangnya 163 orang, menyebabkan lebih 6,000 yang lain cedera dan memusnahkan sekitar 6,000 bangunan, menurut pihak berkuasa.

Laporan Pengarah Am Keselamatan Negara mengenai kejadian sebelum berlaku letupan itu turut merangkumi rujukan kepada sepucuk surat peribadi yang dihantar kepada Presiden Michel Aoun dan Perdana Menteri Hassan Diab pada 20 Julai.

Laporan keselamatan negara, yang mengesahkan surat itu disampaikan kepada presiden dan perdana menteri Lubnan, belum dilaporkan sebelum ini.

"Terdapat kebimbangan sekiranya bahan itu, jika dicuri, boleh digunakan dalam serangan pengganas," kata pegawai itu kepada Reuters.

"Di akhir siasatannya, Ketua Pendakwa (Ghassan) Oweidat menyiapkan laporan muktamad yang dihantarkan kepada pihak berkuasa," katanya sambil merujuk kepada surat yang dihantar kepada perdana menteri dan presiden oleh Pengarah Am Keselamatan Negara yang menyelia keselamatan pelabuhan.

"Saya memberi amaran kepada mereka bahawa ini boleh memusnahkan Beirut jika ia meletup," kata pegawai berkenaan yang terlibat dalam penulisan surat itu dan tidak mahu identitinya didedahkan.

"TIDAK SIMPAN DENGAN BETUL, PERTIMBANGAN YANG BURUK"

Pada Januari 2020, seorang hakim melancarkan siasatan rasmi setelah mendapati Hangar 12 tidak dijaga dan terdapat lubang pada tembok bahagian selatan dan salah sebuah pintunya tertanggal, yang bermakna bahan-bahan yang disimpan itu berisiko dicuri.

Dalam laporan muktamad menyusuli siasatan itu, Ketua Pendakwa Oweidat "dengan segera mengeluarkan arahan" bagi memastikan pintu hangar dan lubang dibaiki dan keselamatan di hangar itu dipertingkatkan, menurut seorang pegawai keselamatan yang berpangkat tinggi yang juga tidak mahu identitinya didedahkan.

Pada 4 Jun, berdasarkan arahan itu, pihak keselamatan negara mengarahkan pihak berkuasa pelabuhan supaya mengerahkan pengawal ke Hangar 12, melantik seorang pengarah bagi menguruskan gudang itu dan memastikan kesemua pintu dikunci selain membaiki lubang pada tembok bahagian selatan hangar tersebut, menurut laporan keselamatan negara dan pihak berkuasa keselamatan.

Semasa kerja-kerja pembaikan itu dijalankan, kerja-kerja kimpalan mencetuskan percikan lalu menyebabkan kebakaran terus marak, kata pegawai itu.

"Memandangkan mercun turut disimpan dalam hangar yang sama, setelah selama sejam kebakaran besar berlaku lalu merebak ke bahan-bahan mudah meletup apabila suhu di dalam hangar itu melebihi 210 darjah Selsius," kata pegawai keselamatan berpangkat tinggi itu.

Pegawai berkenaan menyalahkan pihak berkuasa pelabuhan kerana tidak menyelia kakitangan yang menjalankan kerja-kerja pembaikan dan menyimpan mercun bersama bahan-bahan mudah meletup dalam jumlah yang begitu banyak.

"Disebabkan hangar itu menghadap ke laut, kesan letupannya kurang sedikit. Jika tidak seluruh Beirut akan musnah," katanya. "Isunya adalah tentang kecuaian, tidak bertanggungjawab, tidak menyimpan dengan betul dan pertimbangan yang buruk."

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan