Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemimpin Israel, Turki saling tuduh menuduh susuli keputusan isu Baitulmakdis

Hubungan antara Israel dan Turki semakin keruh sedang para pemimpinnya saling tuduh-menuduh antara satu sama lain tentang pelibatan dalam pengganasan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin Israel, Turki saling tuduh menuduh susuli keputusan isu Baitulmakdis

Pesiden Turki Recep Tayyip Erdogan. (Gambar: YASIN BULBUL/TURKISH PRESIDENTIAL PRESS SERVICE/AFP)

Diterbitkan : 11 Dec 2017 09:07AM Dikemas Kini : 11 Dec 2017 09:10AM

ISTANBUL: Hubungan antara Israel dan Turki semakin keruh sedang para pemimpinnya saling tuduh-menuduh antara satu sama lain tentang pelibatan dalam pengganasan.

Ini beberapa hari setelah Amerika Syarikat mengisytiharkan Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berkata beliau akan menentang perisytiharan kontroversial itu, menyifatkan Israel sebagai "negara pengganas" yang membunuh kanak-kanak. Beliau berkata demikian dalam satu ucapan yang disampaikan di Istanbul.

Beberapa jam kemudian Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu membalas tuduhan tersebut dengan menyatakan pemimpin Turki adalah pengebom para penduduk Kurdi dan menyokong pengganas. Beliau mengatakan demikian semasa mengadakan lawatan rasmi di Paris.

Hubungan antara kedua-dua negara itu biasa sahaja sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun pertikaman lidah yang berlaku semalam (10 Dis) disebabkan kemarahan Turki terhadap keputusan Presiden Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel.

Langkah Encik Trump itu mencetuskan bantahan selama empat hari di negara-negara Islam dan Arab.

"Palestin adalah mangsa yang tidak berdosa. Bagi Israel pula, ia adalah negara pengganas, ya, pengganas!" kata Encik Erdogan dalam ucapan di bandar tengah Sivas. "Kami tidak akan meninggalkan Baitulmakdis kepada negara yang membunuh kanak-kanak."

Awal dari itu, Encik Erdogan menyifatkan status Baitulmakdis, di mana sektor timur rakyat Palestin menganggapnya sebagai ibu kota masa depannya, sebagai "garisan merah" bagi umat Islam.

Encik Netayahu pula segera menyelar tuduhan tersebut semasa beliau berucap di satu sidang media di samping Presiden Perancis Emmanuel Macron.

"Saya tidak biasa menerima leteran tentang moral daripada seorang pemimpin yang mengebom penduduk Kurdi di negaranya Turki, yang memenjarakan para wartawan, yang membantu Iran melaksanakan sekatan antarabangsa dan yang membantu para pengganas termasuk di Gaza, membunuh orang-orang yang tidak bersalah," selar beliau.

"Ini bukan lelaki yang akan meleteri kami."

Presiden Turki itu menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi Pertubuhan Muktamar Islam (OIC) untuk mengadakan sidang puncak bagi perkumpulan negara Islam itu pada Rabu (13 Dis).

"Kami akan menunjukkan bahawa menguatkuasakan langkah tersebut tidak semudah itu," katanya semalam, merujuk kepada langkah Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmakdis.

Beliau menyifatkannya sebagai "mengarut" untuk menafikan "kaitan lama" kaum Yahudi dengan Baitulmakdis.

Semasa ucapannya, Encik Erdogan memegang gambar seorang remaja lelaki Palestin berusia 14 tahun dari Hebron di Tebing Barat yang dicerobohi, diheret oleh askar-askar Israel.

Turki dan Israel memperbaiki hubungan mereka sejak beberapa tahun lalu tetapi Encik Erdogan terus mempertahankan Palestin dan sering mengkritik dasar Israel. 

Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan