Images
  • hong kong protest
    Beratus ribu penunjuk perasaan berarak semasa perhimpunan membantah rang undang-undang ekstradisi di Hong Kong pada 9 Jun 2019. (Gambar: AFP/Dale De La Rey)

Pemimpin Hong Kong tetap teruskan rang ekstradisi

HONG KONG: Pemimpin Hong Kong yang pro-Beijing berkata pada Isnin (10 Jun) beliau tidak bercadang untuk membatalkan rancangan kontroversi untuk membenarkan ekstradisi ke tanah besar China, sehari selepas sejumlah besar penduduk keluar berarak membantah cadangan itu.

"Ini adalah satu undang-undang yang sangat penting dan membantu menegakkan keadilan serta memastikan Hong Kong akan memenuhi tanggungjawab antarabangsanya yang membabitkan jenayah rentas sempadan dan antara negara," kata Ketua Eksekutif Carrie Lam kepada para wartawan.

“Rang undang-undang itu akan diteruskan untuk bacaan kedua pada 12 Jun,” katanya.

Pemerintah bandar itu mengusulkan rang undang-undang yang akan membenarkan ekstradisi ke mana-mana bidang kuasa, termasuk ke tanah besar China, meskipun masih belum ada sebarang perjanjian dimeterai sehingga kini.

Para penggubal undang-undang veteran menggesa agar Cik Lam meletak jawatan.

Cadangan itu mencetuskan bantahan dan membangkitkan kemarahan dalam kalangan masyarakat perniagaan, diplomat dan guaman, yang bimbang rang undang-undang terbabit akan menjerat rakyat dalam sistem mahkamah China yang dipolitikkan.

Pihak penganjur bantahan semalam berkata jumlah yang keluar berarak mencecah lebih sejuta orang dan dianggap lebih ramai daripada perhimpunan pada 2003 di mana 500,000 penduduk berarak di jalanan dalam bantahan terhadap rancangan pemerintah untuk mengetatkan undang-undang keselamatan negara.

Polis bagaiamanapun menganggarkan 240,000 penunjuk perasaan hadir di kemuncak perarakan tersebut.

Ketua Setiausaha Pentadbiran Hong Kong Matthew Cheung berkata pada Isnin bahawa pemerintah sudah menyemak semula keseluruhan rang undang-undang tersebut sebagai responsnya kepada tuntutan masyarakat.

Amnesty International menyatakan, pindaan undang-undang ekstradisi itu mengancam hak asasi manusia.

"Jika dikuatkuasakan, undang-undang ini akan meluaskan bidang kuasa pemerintah China untuk menyasarkan pengkritik, aktivis hak asasi, wartawan, pekerja badan-badan bukan pemerintah (NGO) dan siapa sahaja di Hong Kong, sama seperti dilakukan di tanah besar," menurut kenyataan Amnesty International.  

- Agensi berita/ZM/zm

Top