Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemimpin G20 ikrar biaya agihan adil vaksin COVID-19 bagi bantu negara miskin

Para pemimpin 20 ekonomi terbesar dunia pada Sabtu (21 Nov) berikrar akan memastikan pengagihan vaksin, ubat-ubatan dan ujian COVID-19 yang adil di merata dunia dan melakukan apa yang diperlukan untuk menyokong negara-negara miskin.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin G20 ikrar biaya agihan adil vaksin COVID-19 bagi bantu negara miskin

Sidang Puncak G20 yang dihoskan secara maya oleh Arab Saudi. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 22 Nov 2020 01:41PM Dikemas Kini : 22 Nov 2020 01:44PM

BEIJING: Para pemimpin 20 ekonomi terbesar dunia pada Sabtu (21 Nov) berikrar akan memastikan pengagihan vaksin, ubat-ubatan dan ujian COVID-19 yang adil di merata dunia dan melakukan apa yang diperlukan untuk menyokong negara-negara miskin yang mengalami kesulitan untuk bangkit semula daripada pandemik COVID-19.

"Kami akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan akses yang adil dan dimampui untuk semua orang, konsisten dengan komitmen para anggota untuk merangsang inovasi," kata para pemimpin tersebut dalam satu draf kenyataan G20 yang dikongsi dengan Reuters. "Kami mengiktiraf peranan imunisasi yang meluas sebagai kebaikan awam global."

Krisis kembar - pandemik COVID-19 dan kebangkitan ekonomi global yang tidak sama rata dan serba tidak menentu, menjadi agenda utama pada hari pertama sidang puncak selama dua hari yang dihoskan oleh Arab Saudi, yang bakal menyerahkan kerusi presiden G20 kepada Itali pada bulan depan.

Pandemik COVID-19, yang menyebabkan ekonomi global mengalami kemelesetan yang dahsyat tahun ini, dan usaha yang diperlukan untuk merangsang pemulihan ekonomi pada 2021, menjadi agenda utama sidang tahun ini.

"Kita mesti bekerjasama untuk mewujudkan syarat-syarat bagi akses yang dimampui dan adil bagi wadah-wadah ini untuk semua orang," kata Raja Salman bin Abdulaziz semasa menyampaikan ucapan pembukaannya.

Para pemimpin G20 bimbang sekiranya pandemik COVID-19 akan melebarkan lagi jurang global antara negara-negara mewah dengan yang miskin.

"Kita perlu mengelakkan sama sekali senario di mana terdapat jurang yang melebar ini, di mana hanya negara-negara yang mewah saja boleh melindungi diri mereka daripada jangkitan virus dan menyambung semula kehidupan mereka," kata Presiden Perancis Emmanuel Macron di sidang puncak itu.

Untuk berbuat demikian, Kesatuan Eropah (EU) menggesa para pemimpin G20 supaya mengumpul dana secepat mungkin bagi sebuah projek vaksin, ujian dan terapi global, yang diberi nama Pemacu Akses kepada Wadah COVID-19 (ACT) dan kemudahan COVAX untuk mengagihkan vaksin yang diluluskan.

"Di Sidang Puncak G20, saya menyeru AS$4.5 bilion dilaburkan untuk ACT sebelum hujung tahun ini bagi memperolehi dan menyediakan ujian, rawatan dan vaksin COVID-19 ke mana-mana saja," kata Ketua Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen di Twitter.

"Kita perlu menunjukkan perpaduan global," kata beliau.

Jerman menyumbang lebih 500 juta euro (S$796,469) kepada inisiatif itu, menurut Canselor Jerman Angela Merkel kepada para pemimpin G20, sambil menggesa negara-negara lain supaya memainkan peranan masing-masing.

Presiden Rusia Vladimir Putin turut menawarkan vaksin Sputnik V yang dihasilkan Rusia kepada negara-negara lain sambil berkata bahawa Moscow juga sedang meghasilkan vaksin kedua dan ketiga.

China, iaitu negara di mana virus COVID-19 mula dikesan setahun lalu, juga menawarkan untuk bekerjasama dalam penghasilan vaksin. China mempunyai lima calon vaksin yang sedang menjalani fasa ujian terakhir.

"China bersedia untuk mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara lain dalam bidang kajian dan pengembangan (R&D), pengilangan dan pengagihan vaksin," Presiden Xi Jinping memberitahu Sidang Puncak G20.

"Kami akan... menawarkan bantuan dan menyokong negara-negara membangun, dan bekerja keras untuk menjadikan vaksin-vaksin sebagai keperluan awam yang boleh digunakan dan dimampui rakyat dari semua negara," kata beliau.

Presiden Donald Trump, yang kalah dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat, tetapi enggan mengaku kalah kepada mantan Naib Presiden Joe Biden, turut menyampaikan ucapan ringkas kepada para pemimpin G20 sebelum pergi bermain golf.

Beliau membincangkan keperluan untuk bekerjasama demi memulihkan pertumbuhan ekonomi,kata Setiausaha Media Rumah Putih Kayleigh McEnany dalam satu ringkasan yang dikeluarkan pada lewat Sabtu (21 Nov).

Beliau bagaimanapun tidak menyebut tentang sebarang ikrar dari Amerika Syarikat untuk menyokong inisiatif pengagihan vaksin global. Salah seorang sumber dari Eropah berkata komen Encik Trump memberi tumpuan kepada apa yang beliau sifatkan sebagai kebangkitan Amerika Syarikat yang belum pernah berlaku sebelumnya, dan usaha Amerika Syarikat untuk menghasilkan sendiri vaksin COVID-19.

BERSEDIA UNTUK MASA HADAPAN

Untuk bersiap sedia bagi penularan masa hadapan, EU mengusulkan satu perjanjian berhubung pandemik. "Satu perjanjian antarabangsa akan membantu kita memberi respons lebih pantas dan dengan cara yang lebih terselaras," menurut Presiden Majlis Eropah Charles Michel kepada para pemimpin G20.

Meskipun ekonomi sejagat sedang bangkit semula daripada krisis yang dahsyat ini, momentumnya agak perlahanan dalam kalangan negara yang menyaksikan jumlah jangkitan kembali meningkat dan mungkin akan meninggalkan kesan yang lebih mendalam, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam laporannya bagi sidang puncak itu.

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan