Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemimpin dunia ucap tahniah atas kejayaan misi menyelamat gua Thai

Pemimpin dunia mengucapkan tahniah atas kejayaan menyelamatkan 13 remaja pasukan bola sepak "Mu Pa" dan jurulatih mereka yang terperangkap dalam gua Tham Luang di Chiang Rai selama 17 hari.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin dunia ucap tahniah atas kejayaan misi menyelamat gua Thai

Keceriaan selepas kesemua 13 orang berjaya diselamatkan dari gua di Chiang Rai, Thailand.(Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 11 Jul 2018 10:37AM Dikemas Kini : 11 Jul 2018 01:20PM

BANGKOK: Pemimpin dunia mengucapkan tahniah atas kejayaan misi menyelamatkan 13 pemain muda pasukan bola sepak "Mu Pa"(Wild Boars) dan jurulatih mereka yang terperangkap dalam gua Tham Luang di Chiang Rai selama 17 hari.

Lima mangsa terakhir dibawa keluar dengan selamat oleh pasukan penyelamat Selasa malam selepas lapan rakan mereka dikeluarkan dari gua yang ditenggelami air itu dalam misi yang penuh berisiko pada Ahad dan Isnin.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengucapkan tahniah atasa kejayaan itu menerusi laman Twitter beliau.

"Bagi pihak Amerika Syarikat, tahniah diucapkan kepada Unit SEAL Tentera Laut Thailand dan semua pihak yang terlibat atas kejayaan menyelamatkan 12 remaja lelaki dan jurulatih mereka dari gua yang berbahaya di Thailand itu. Detik paling indah – semua berjaya diselamatkan, misi paling cemerlang!," kata beliau.

Markas Pasifik Amerika Syarikat (PACOM) menghantar pasukan pakar ke gua Tham Luang untuk membantu pasukan penyelamat Thailand dalam operasi menyelamat.

Sementara itu, Perdana Menteri Britain Theresa May juga melahirkan kegembiraan atas kejayaan di Chiang Rai sambil berkata menerusi Twitter: "Dunia sedang memerhatikan dan menyanjung keberanian semua mereka yang terlibat."

Pakar-pakar gua dari Britain memainkan peranan penting sepanjang misi menyelamat dan merupakan pasukan penyelamat pertama yang menemui kumpulan remaja itu dan jurulatih mereka dalam gua, sembilan hari selepas mereka hilang dalam rangkaian gua yang dibanjiri air.

Selain pakar-pakar dari Amerika Syarikat dan Britain, pasukan penyelamat dari negara-negara lain iaitu Myanmar, Laos, Filipina, Jepun, China dan Australia turut menyertai misi yang berisiko itu, mencerminkan bahawa operasi itu benar-benar bersifat antarabangsa.

Sementara itu, pasukan bola sepak England, Kelab Bola Sepak Manchester United atau dikenali sebagai "Red Devils" juga berasa lega kerana mangsa terakhir dari pasukan bola sepak Mu Pa berjaya dibawa keluar dengan selamat dari gua pada Selasa.

Pasukan itu dalam satu kenyataan menerusi Twitter turut menjemput 13 pemain remaja itu dan jurulatih mereka ke Stadium Old Trafford.

"Kami ingin menjemput pasukan dari Kelab Bola Sepak Mu Pa dan anggota penyelamat ke Old Trafford pada musim akan datang ini," kata pasukan itu.

Melalui jemputan itu, Manchester United menjadi organisasi bola sepak yang kedua selepas FIFA yang juga menjemput pasukan itu dan jurulatih mereka menyaksikan Final Piala Dunia 2018 di Stadium Luzhniki di Moscow pada 15 Julai.

Pasukan itu mungkin terlepas peluang untuk ke Piala Dunia kerana mereka ini menerima rawatan selepas mengharungi pengalaman yang getir itu. 

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan