Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemerintah Sri Lanka kuat kuasa perintah darurat

Pemerintah Sri Lanka akan menguatkuasakan perintah darurat seluruh negara mulai tengah malam ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Apr 2019 08:55PM Dikemas Kini : 22 Apr 2019 10:35PM

COLOMBO: Pemerintah Sri Lanka akan menguatkuasakan perintah darurat seluruh negara mulai tengah malam ini. Ia juga percaya siri serangan bom di negara itu semalam (21 Apr) dilakukan sebuah kumpulan pelampau tempatan, National Thowheeth Jama'ath (NTJ).

Jurucakap pemerintah, Rajitha Senaratne berkata pemerintah sedang menyiasat kemungkinan kumpulan itu "mendapat sokongan antarabangsa".

Ketua Polis Sri Lanka pula dipercayai telah mengeluarkan amaran pada 11 April lalu bahawa sebuah agensi risik asing menyatakan NTJ merancang untuk menyerang gereja-gereja dan Suruhanjaya Tinggi India.

Seramai 290 orang terbunuh termasuk 32 rakyat asing dan kira-kira 500 lagi mangsa cedera dalam siri serangan bom di beberapa gereja dan hotel pada Ahad.

Kebanyakan sasaran itu terletak di ibu kota Colombo serta kawasan sekitarnya.

Sehingga hari ini, belum ada pihak mengaku bertanggungjawab tetapi pasukan keselamatan Sri Lanka sudahpun menangkap 24 orang.

Satu sumber polis menyatakan kesemua 24 orang itu merupakan anggota sebuah kumpulan pelampau tetapi tidak memberikan perincian lanjut.

Dalam nasihat perjalanan terbarunya, Amerika Syarikat memberi amaran kumpulan-kumpulan pengganas terus merancang untuk cuba melakukan lebih banyak serangan di Sri Lanka.

Jabatan Negara menyatakan para pengganas mungkin melancarkan serangan lagi 'tanpa atau dengan memberi sedikit sahaja amaran'.

Sasaran-sasarannya mungkin termasuk tempat-tempat tarikan pelancong, hab-hab pengangkutan dan tempat-tempat awam yang lain.   

Sumber : Reuters/MU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan