Images
  • ma'ruf amin
    (Gambar: Mediacorp)

Pemerintah Indonesia tingkat usaha tangani kakitangan awam dipengaruhi fahaman radikal

JAKARTA: Pemerintah Indonesia meningkatkan usaha bagi menangani semakin ramai pegawai perkhidmatan awam yang dipercayai dipengaruhi oleh fahaman radikal, kata Naib Presiden Ma'ruf Amin.

Dalam wawancara selama 30 minit bersama Mediacorp, beliau menarik perhatian bahawa para kakitangan awam yang terjejas kebanyakannya menjadi radikal di dalam kolej, sebelum mereka dilantik sebagai pegawai perkhidmatan awam.

"Sebahagian daripada mereka terpengaruh di kolej-kolej tempatan, ada di luar negara. Jadi apabila mereka menjadi penjawat awam, perkara itu tidak dikenalpasti kerana ia bukan sebahagian daripada apa yang diuji semasa proses pengambilan untuk bekerja," katanya dalam wawancara pada Khamis lalu (28 Nov).

"Oleh itu meskipun mereka terdedah (kepada radikalisme), ia tidak diketahui. Kebanyakannya menjadi kakitangan awam dan ada juga yang menyertai pertubuhan milik pemerintah.

Setelah beberapa kajian dan tinjauan, pemerintah Indonesia akan mereka semula proses pemilihan kakitangan awam. Sebahagian daripada proses baru itu adalah bagi menentukan sama ada mereka sudah menjadi radikal, katanya.

Usaha itu akan melibatkan beberapa institusi, termasuk kementerian ekonomi, pendidikan dan hal ehwal agama.

Pada 2016, Jakarta diserang oleh individu bersenjata yang menyebabkan lapan orang terkorban termasuk para penyerang itu sendiri.

Ia merupakan serangan pengganas pertama di Asia Tenggara di mana kumpulan pengganas ISIS mengaku tanggungjawab. Menyusuli serangan itu, beberapa kakitangan awam dipercayai meletak jawatan dan cuba menyertai ISIS di Syria.

Dalam apa yang dilihat sebagai isyarat jelas untuk menangani radikalisme, Presiden Joko Widodo melantik Jeneral Tentera (Bersara) Fachrul Razi sebagai menteri hal ehwal agama dan mantan ketua polis dan mantan ketua Agensi Kebangsaan bagi Tangani Terrorisme (BNPT) Jeneral-Polis (Bersara) sebagai menteri ehwal dalam negeri.

Pemerintah juga baru-baru ini melancarkan laman bagi orang awam memberi maklumat mengenai kakitangan awam yang mungkin menjadi radikal.

Terdapat juga rancangan memberi pentauliahan kepada para ulama dan mengharamkan penggunaan niqab serta seluar yang pendek dalam kalangan kakitangan awam.

PERLU PENDEKATAN 'MENYELURUH"

Semasa wawancara itu, Encik Ma'ruf menekankan perlunya pendekatan menyeluruh bagi menangani radikalisme.

"Ia perlu ditangani secara menyeluruh. Daripada peringkat atas ke bawah, melibatkan pelbagai institusi dan kementerian," kata Encik Ma'ruf.

"Langkah pertama adalah memastikan masyarakat kebal daripada pengaruh radikalisme. Ini perlu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga daripada peringkat atasan ke bawah.

"Daripada pendidikan awal kanak-kanak ke kolej, menerusi tempat-tempat ibadah, menerusi badan-badan agama, media dan termasuk media sosial," katanya.

Tambahan lagi, pemahaman agama yang menyeleweng harus diperbetulkan, katanya.

"Naratif balas harus disediakan,"katanya sambil menambah naratif-naratif sedemikian akan menumpaskan hujah-hujah radikal yang mempengaruhi individu-individu itu.

"Kami perlu menyakinkan mereka bahawa hujah-hujah radikal yang mereka terima adalah lemah dan tidak tepat."

- CNA/HA/ha

Top