Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pembukaan semula sempadan M'sia-S'pura tertangguh ekoran kenaikan kes COVID-19 di Johor

Kerajaan negeri Johor mengakui peningkatan kes COVID-19 di negara ini sejak kebelakangan ini menyebabkan usaha untuk membuka semula sempadan Malaysia dan Singapura tertangguh.

Anggaran Waktu Membaca:
Pembukaan semula sempadan M'sia-S'pura tertangguh ekoran kenaikan kes COVID-19 di Johor

(Gambar fail: Edgar Su/Reuters)

Diterbitkan : 27 Nov 2020 10:28PM Dikemas Kini : 27 Nov 2020 10:29PM

PONTIAN: Kerajaan negeri Johor mengakui peningkatan kes COVID-19 di negara ini sejak kebelakangan ini menyebabkan usaha untuk membuka semula sempadan Malaysia dan Singapura tertangguh.

Menteri Besar Hasni Mohammad berkata peningkatan kes itu juga melibatkan beberapa daerah serta petugas agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) yang turut menjalani proses kuarantin.

"Kita memang berhajat untuk membuka sempadan secepat mungkin kerana ekonomi Johor bergantung kepada negara jiran melalui peluang pekerjaan dan ekonomi rentas sempadan, itu kelebihan Johor.

"Tetapi apabila meningkatnya kes COVID-19, tertangguhlah usaha kita untuk membuka sempadan itu," katanya ketika berucap pada Program Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penulis Johor Kali ke-43 di Rumah Citra Sri Pinang hari ini (27 Nov).

Bagaimanapun, pihaknya tetap berterima kasih kepada kerajaan pusat kerana bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) secara bersasar di negeri tersebut dan bukannya secara menyeluruh, kata beliau.

Sehingga Khamis (26 Nov), sebanyak 1,209 kes positif COVID-19 dilaporkan di Johor dengan 60 daripadanya merupakan kes baru.

Penutupan sempadan Malaysia-Singapura pula bermula sejak 18 Mac lalu apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19.

Langkah itu menyebabkan ratusan ribu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura terjejas kerana tidak dapat berulang-alik secara harian melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura.

Sementara itu, Encik Hasni memaklumkan pelaksanaan program bakul makanan bagi rakyat Malaysia di Singapura akan dimulakan dalam waktu terdekat dengan menyasarkan mereka yang benar-benar terkesan akibat penutupan sempadan.

"Pada peringkat awal, kita akan menyediakan sebanyak 1,000 bakul makanan untuk diagihkan kepada individu yang benar-benar terkesan.

"Inisiatif ini adalah bagi meringankan beban mereka dan juga merupakan satu bentuk penghargaan atas kegigihan mereka terus bekerja untuk menyara kehidupan keluarga,” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan Johor 2021 semalam, Encik Hasni berkata bakul makanan itu akan dihantar melalui badan bukan kerajaan (NGO) Southern Volunteers bersama-sama Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura dan Persatuan Malaysia-Singapura.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan