Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pembuat wau Kelantan tetap terima tempahan di tengah COVID-19

Meskipun Malaysia masih dilanda pandemik COVID-19, ia tidak menghalang sekumpulan anak muda dari Kampung Sireh di Kelantan untuk meneruskan minat dalam seni pembuatan wau yang merupakan permainan tradisional masyarakat Melayu di situ.

Anggaran Waktu Membaca:
Pembuat wau Kelantan tetap terima tempahan di tengah COVID-19

Wau gergasi seperti ini boleh mencecah RM350. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 30 Jul 2021 11:26PM Dikemas Kini : 30 Jul 2021 11:31PM

KOTA BHARU: Meskipun Malaysia masih dilanda pandemik COVID-19, ia tidak menghalang sekumpulan anak muda dari Kampung Sireh di Kelantan untuk meneruskan minat dalam seni pembuatan wau yang merupakan permainan tradisional masyarakat Melayu di situ.

Tinjauan di Flat Kampung Sireh mendapati tujuh hingga 10 anak muda berusia 20 hingga 30-an tahun sedang menyiapkan wau puyuh iaitu ‘Wau Kelantan’ yang ditempah oleh para pembeli.

MASIH TERIMA TEMPAHAN

Ketuanya, Encik Muhd Nasru Aiman Mohd Zu, 31 tahun, berkata pembuatan wau puyuh tetap diteruskan dalam tempoh pandemik ini kerana masih ada tempahan selain tidak mahu seni tradisional itu terkubur.

Beliau berkata walaupun seni seumpama itu dilihat kolot berbanding permainan gajet moden, namun ia masih memiliki peminat tersendiri.

"Alhamdulillah di kawasan ini masih ada anak muda yang berminat dan mereka mahu belajar mengenai cara membuat wau.

"Sebelum ini kami hanya membuat wau untuk pertandingan tetapi kini semakin ramai yang menempah untuk hiasan khususnya wau bersaiz gergasi," katanya.

Encik Nasru menambah beliau sendiri mewarisi kebolehan membuat wau daripada ayahnya Encik Mohd Zu Man, 61 tahun, yang kini turut mengajar anak muda yang berminat menghasilkan wau. 

WAU GERGASI DIBUAT SECARA TRADISIONAL

Beliau berkata ketika ini pihaknya menerima lima hingga enam tempahan dari seluruh negara dalam tempoh sebulan dengan wau puyuh bersaiz gergasi seperti berukuran 2x4 meter dijual pada harga RM350 (S$112).

"Untuk membuat wau sebegini, kami menggunakan batang pinang yang diraut bagi dijadikan tulang belakang manakala sayapnya dibuat daripada buluh betong. Kerangka wau ini pula perlu dibentuk menggunakan cara tradisional dan perlu dijemur supaya tahan lama.

"Kami juga menggunakan plastik bagi menggantikan kertas supaya wau tidak mudah koyak apabila dinaikkan dan mampu bertahan lama," katanya.

Encik Nasru berkata wau bersaiz gergasi sebenarnya boleh diterbangkan ke udara tetapi memerlukan tenaga lebih lima lelaki dewasa dan lebih tenaga diperlukan sekiranya saiznya lebih besar.

Menurutnya lagi, beliau dan rakan-rakannya akur Pesta Wau Antarabangsa yang sering diadakan di Pantai Sri Tujoh, dekat Tumpat tidak boleh dianjurkan disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Katanya, masa terluang itu boleh digunakan untuk menyiapkan tempahan pelanggan yang sentiasa ada, sekali gus memberikan pulangan yang agak baik.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan