Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pembedahan untuk jadi lebih tinggi - adakah ia berbaloi?

Prosedur yang boleh membuat seseorang lebih tinggi boleh mencecah S$100,000. Di India, permintaan bagi khidmat seperti itu meningkat semasa pandemik COVID-19. Ada sebabnya...

Anggaran Waktu Membaca:
Pembedahan untuk jadi lebih tinggi - adakah ia berbaloi?

Prosedur memanjangkan anggota tubuh menggunakan kaedah yang diperkenalkan pada 1951.

Diterbitkan : 27 May 2021 02:57PM Dikemas Kini : 27 May 2021 03:15PM

DEHLI: Dengan harapan dapat memanjat tangga kerjaya, konsultan penjualan bernama Amit (bukan nama sebenar), sanggup menjalani pembedahan untuk 'mematahkan' tulangnya supaya dapat menjadi lebih tinggi.

Dengan ketinggian 1.6 meter, Amit berasa dirinya kerdil. Apabila mendapat tawaran kerja di Amerika Syarikat, Amit memutuskan untuk berjumpa doktor bedah ortopedik, Encik Amar Sarin, yang juga pakar membantu seseorang menjadi lebih tinggi.

"Ada kalanya saya terfikir, saya tidak perlu melakukan ini. Mengapa saya harus bersusah payah melakukan semua ini?" kata Amit, 36 tahun, yang tidak mahu mendedahkan identiti sebenarnya.

"Mungkin apa yang saya lakukan ini betul, mungkin salah... hanya masa yang akan menentukan. Namun demi membina keyakinan diri, saya rasa tidak salah jika saya ingin menjadi beberapa sentimeter lebih tinggi."

Untuk itu, beberapa wayar dimasukkan ke dalam tubuhnya sementara tulang keringnya dipaku agar sebuah rangka dapat dipasang pada kaki.

Selepas pembedahan, batang-batang besi pada rangka itu hari demi hari menjarakkan beberapa bahagian tulang supaya tulangnya yang sedang tumbuh dapat mengisi jarak yang ada antara bahagian tulang kaki yang 'dipatahkan'.

Bagi Amit, proses yang memakan masa beberapa bulan itu cukup mencabar. Ada suatu ketika beliau malah didapati tidak menunjukkan kemajuan memberangsangkan. Ini membuat Amit meminta rangka pada kakinya dilepaskan seminggu lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan.

Amit kini 3.5 sentimeter lebih tinggi tetapi bukan kegembiraan yang diluahkan. Beliau sebaliknya menantikan masa untuk dapat berjalan seperti sedia kala dan melancong bersama keluarga.

Sebenarnya, prosedur yang dijalani Amit bukanlah sesuatu yang baru. Sungguhpun demikian, disebabkan kaedah itu semata-mata pilihan bagi pesakit untuk memperbaiki penampilan diri, ia menimbulkan banyak kontroversi.

Ini apatah lagi kerana, pembedahan tersebut mempunyai risiko dan seharusnya dilakukan apabila perlu sahaja - misalnya, bagi pesakit yang anggota tubuhnya tidak sama panjang, kata seorang anggota Persatuan Ortopedik Dehli, Encik Dhananjay Gupta.

Maka itu, isu ini mudah dipertikaikan, lebih-lebih lagi kalau berlaku komplikasi, tambah beliau. Ia menjadi lebih rumit lagi jika ia menjadi kes yang dibicarakan di mahkamah.

"Adakah ia disebabkan pesakit kurang keyakinan diri atau mereka benar-benar perlu menjalani prosedur itu?" ujar Encik Dhananjay Gupta.

PERMINTAAN MELONJAK TAHUN LALU

Bagaimanapun, permintaan bagi pembedahan itu terus meningkat di India, khususnya kerana ketinggian seseorang itu menjadi ukur tara dalam industri hiburan dan peragaan fesyen... serta dalam mencari jodoh.

Tiada sebarang peraturan ditetapkan di India tentang siapa yang boleh atau tidak boleh menjalani prosedur 'jadi lebih tinggi'.

Encik Sarin, yang sudah melakukan pembedahan sedemikian ke atas hampir 400 orang sepanjang lebih 20 tahun, menyaksikan permintaan lebih tinggi berbanding biasa pada tahun lalu.

Kian ramai bekerja dari rumah semasa pandemik COVID-19 dan mereka yang ingin menjalani pembedahan tersebut dikatakan menganggap masa ini terbaik di mana mereka boleh beransur pulih secara diam-diam.

Berpangkalan di Delhi, Encik Sarin terlatih untuk menjalankan kaedah dipanggil Ilizarov, yang dinamakan sempena doktor dari Siberia - Gavriil Ilizarov. Beliaulah yang menghasilkan alat-alat untuk memanjangkan tubuh pada 1951.

90 peratus pertanyaan yang diterima Encik Sarin adalah dari kaum Adam.

Para pelanggannya yang datang dari merata dunia, lazimnya menjadi antara tujuh hingga 14 sentimeter lebih tinggi.

Bayaran yang dikenakan bagi prosedur tersebut adalah sekitar AS$20,000 (S$26,500), jauh lebih rendah berbanding AS$75,000 (S$99,000) yang perlu dibayar pesakit di Amerika.

Mengenai pilihan pesakit menjalani prosedur itu untuk penampilan diri, Encik Sarin berpandangan bahawa isu etika dalam perubatan moden sudah berubah.

Menyebut prosedur seperti pembedahan plastik agar tampil lebih cantik, beliau mempersoalkan: "Adakah ia beretika ataupun tidak?

"Ia sukar untuk disimpulkan. Saya rasa ia pilihan masing-masing."

Menjadi lebih tinggi memperkasakan seseorang, katanya. Mereka yang mendapatkan khidmatnya sangat bermotivasi, dan ia sukar untuk mengatakan tidak kepada mereka.

Namun demikian, Encik Sarin menolak kebanyakan permintaan dan biasanya berbincang dahulu dengan pakar psikiatri dan ahli psikologi sebelum meneruskan sebarang kes.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan