Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pembantu rumah pulangkan semula barang kemas, wang tunai lebih S$41,000 yang dicuri

Pelbagai barangan kemas bernilai kira-kira RM125,000 (S$27,229) milik sebuah keluarga, yang dicuri dan dilarikan pembantu rumah warga Indonesia, dalam kejadian di sebuah rumah di Bandar Perda di Bukit Mertajam pada Jumaat (16 Nov) ditemui semula di belakang kediaman mangsa tengah hari semalam.

Anggaran Waktu Membaca:
Pembantu rumah pulangkan semula barang kemas, wang tunai lebih S$41,000 yang dicuri

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 18 Nov 2019 07:57AM Dikemas Kini : 18 Nov 2019 12:01PM

BUKIT MERTAJAM: Pelbagai barangan kemas bernilai kira-kira RM125,000 (S$27,229) milik sebuah keluarga, yang dicuri dan dilarikan pembantu rumah warga Indonesia, dalam kejadian di sebuah rumah di Bandar Perda di Bukit Mertajam pada Jumaat (16 Nov) ditemui semula di belakang kediaman mangsa tengah hari semalam.

Barangan kemas dan wang tunai RM2,600 (S$566) itu ditemui dalam beg yang dilarikan wanita berkenaan kira-kira pukul 1.30 tengah hari. Ia dipercayai dihantar semula oleh suspek ekoran takut ditangkap polis selepas kejadian tersebut tular di media sosial.

Menurut pemilik rumah itu, Muhammed Abu Talib Mohamed Sagubar Ali, 33 tahun, beliau terdengar bunyi barang terjatuh di belakang rumah sebelum keluar melihat dan mendapati beg tangan berisi pelbagai barangan kemas tersebut berada di bahagian pintu belakang rumahnya.

"Kami semua terkejut dan semua barang kemas serta wang tunai yang dilarikan ada di dalam beg kecuali sebentuk cincin, namun saya tidak kisah asalkan barang lain berada dalam keadaan baik. Saya percaya pembantu rumah yang datang hantar semula sebelum melarikan diri," katanya ketika dihubungi.

Encik Abu Talib, yang merupakan pengurus operasi sebuah syarikat logistik, berkata beliau terus menghubungi polis memaklumkan penemuan semula barangan kemas tersebut sebelum ia diambil pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

Beliau menambah semua barangan kemas milik ibunya, Zeenathunisa Packer Meera Sahib, 64 tahun, itu disimpan lebih 10 tahun lalu dan sebahagiannya adalah hadiah daripada nenek serta ayahnya.

"Saya kagum dengan kesabaran ibu yang positif dengan kejadian ini. Selepas tahu barang kemasnya itu hilang, dia tidak panik malah positif dengan mengatakan barang itu akan dijumpai kembali termasuk ia akan dipulangkan suspek. Saya tak sangka dia begitu tenang dan hanya berdoa agar ia dijumpai kembali," ujarnya.

Encik Abu Talib berkata mereka sekeluarga memaafkan pembantu rumahnya itu dan menyerahkan siasatan kes tersebut kepada pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan penemuan semula barang kemas tersebut dan berkata usaha mengesan wanita Indonesia berkenaan giat dijalankan.

"Polis percaya wanita itu tidak lari jauh dan kemungkinan masih berada di sekitar daerah ini sahaja. Usaha memburunya giat dijalankan," katanya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan