Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemandu teksi didenda RM5,000 kerana miliki 245kg daging lembu yang tidak diluluskan

Seorang pemandu teksi didenda RM5,000 (S$1,653) oleh Mahkamah Majistret hari ini (10 Sep), kerana memiliki 245 kilogram daging lembu yang tidak disembelih di rumah penyembelihan yang diluluskan atau dilesenkan, Mei lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu teksi didenda RM5,000 kerana miliki 245kg daging lembu yang tidak diluluskan

(Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 10 Sep 2019 02:50PM Dikemas Kini : 10 Sep 2019 02:55PM

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu teksi didenda RM5,000 (S$1,653) oleh Mahkamah Majistret hari ini (10 Sep), kerana memiliki 245 kilogram daging lembu yang tidak disembelih di rumah penyembelihan yang diluluskan atau dilesenkan, Mei lalu.

Majistret Nurasidah A Rahman turut memerintahkan Abdul Malik Mohamad, 35 tahun, yang berasal dari Taman Senai Indah, dekat Kulai, dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Mengikut kertas pertuduhan, Abdul Malik selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa memiliki daging lembu yang sudah dilapah itu di Ladang Kelapa Sawit Batu 20, Jalan Sungai Tiram, Kampung Pasir, Ulu Tiram, kira-kira 5.45 pagi, 5 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Sub Kaedah 5(3) Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 Akta Binatang 1953 (Pindaan) 2013 (Akta A 1452) dan boleh dihukum mengikut Kaedah 17 (Pindaan) 2018 Kaedah yang sama.

Akta itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 (S$3,300).

Mengikut fakta kes, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor (JPVNJ) menyerbu kawasan ladang kelapa sawit berkenaan pada 5 Mei lalu dan bertindak merampas 245 kilogram daging lembu berkenaan bersama sebilah kapak dan parang yang dipercayai digunakan untuk menyembelih dan melapah haiwan berkenaan.

Pemeriksaan lanjut JPVNJ mendapati daging lembu itu disahkan tidak sesuai dijadikan makanan manusia dan disyorkan untuk dilupuskan.

Pegawai Pendakwa JPVNJ Mohd Faiz Ajis memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap Abdul Malik kerana daging lembu terbabit tidak memiliki perakuan kesihatan yang dikhuatiri dijangkiti penyakit Brusellosis yang boleh memberi kesan pelbagai penyakit ke atas manusia, termasuk tibi dan kemandulan.

Abdul Malik yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun, memohon mahkamah meringankan denda atas alasan hanya bekerja sebagai pemandu teksi dengan pendapatan RM30 (S$9.90) sehingga RM50 (S$17) sehari serta menanggung isteri dan tiga anak.

Cik Nurasidah kemudian menjatuhi hukuman denda RM5,000 (S$1,653) dan memerintahkan Abdul Malik dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda terbabit serta barang kes iaitu sebilah kapak dan parang diarah diserahkan kepada JPVNJ untuk dilupuskan.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan