Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemandu maut setelah kereta bawa mercun meletup

Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang sedang dipandunya meletup dalam kejadian berdekatan Persimpangan Kampung Sireh di sini, kira-kira pukul 5.30 pada Jumaat petang (21 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu maut setelah kereta bawa mercun meletup

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 22 May 2021 01:32PM Dikemas Kini : 22 May 2021 01:39PM

KOTA BHARU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang sedang dipandunya meletup dalam kejadian berdekatan Persimpangan Kampung Sireh di sini, kira-kira pukul 5.30 pada Jumaat petang (21 Mei).

Letupan kereta jenis Proton Iswara itu, turut menyebabkan lima lagi kenderaan yang berada berdekatan rosak, termasuk sebuah yang turut terbakar.

Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata, siasatan awal pihak bomba mendapati kereta yang meletup itu, turut membawa mercun.

“Setakat ini seorang mangsa berusia 50-an tahun yang juga pemandu kereta yang meletup itu, disahkan meninggal dunia. Impak daripada letupan itu juga menyebabkan kereta jenis Proton Iswara itu terputus dua.

“Letupan kuat itu juga menyebabkan mayat mangsa tercampak kira-kira 20 meter daripada kenderaannya dan terputus beberapa anggota badan, termasuk kedua-dua belah kaki,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Encik Shafien berkata, empat lagi mangsa yang berada berhampiran lokasi kejadian turut tercedera termasuk seorang anggota polis yang parah, dan telah dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, untuk rawatan lanjut.

Jelasnya setakat ini identiti mangsa yang maut masih belum dikenal pasti, dan siasatan lanjut masih dilakukan oleh pihak forensik.

Encik Shafien berkata siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan-Bahan Letupan 1957.

Tinjauan Bernama mendapati, letupan itu turut menyebabkan cermin bangunan Tadika Tengku Anis dan Masjid Sultan Mansur, yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian rosak.

Lokasi kejadian juga dipenuhi dengan kesan mercun yang dipercayai menyebabkan letupan kuat itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim Mohd Rudzuan Ali berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian pada pukul 5.39 petang.

Beliau berkata, sepasukan enam anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim dan BBP Tunjong dikejarkan ke lokasi.

Katanya, setiba di lokasi didapati sebuah kenderaan terputus dua manakala lima buah lagi kenderaan turut rosak termasuk sebuah Proton Waja yang sedang terbakar.

“Kita dapati kenderaan yang terputus dua adalah disebabkan oleh letupan kuat dan bomba bertindak pantas memadamkan api pada sebuah kenderaan yang terbakar,” katanya sambil menambah punca kejadian masih disiasat.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan