Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemandu lori ceroboh masuk Istana Iskandariah; bawa pistol mainan, sebilah pisau

Seorang pemandu lori ditahan selepas merempuh masuk ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dengan membawa sepucuk pistol mainan dan sebilah pisau ketika menceroboh masuk istana berkenaan, pada Isnin (25 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu lori ceroboh masuk Istana Iskandariah; bawa pistol mainan, sebilah pisau

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 26 May 2020 08:12AM Dikemas Kini : 26 May 2020 08:16AM

KUALA KANGSAR: Seorang pemandu lori ditahan selepas merempuh masuk ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dengan membawa sepucuk pistol mainan dan sebilah pisau ketika menceroboh masuk istana berkenaan, pada Isnin (25 Mei).

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Razali Ibrahim berkata dalam kejadian pukul 7.40 pagi itu, suspek Mohammad Lokman Mohammad Termizi, 30, yang menaiki kereta Perodua Myvi bertindak merempuh pagar utama hadapan Istana Iskandariah selepas dilarang pengawal istana yang bertugas.

Beliau berkata curiga dengan tindakan lelaki itu, pengawal istana sudah menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.

“Selepas tidak dibenarkan masuk, lelaki itu telah masuk ke dalam kenderaannya dan tiba-tiba merempuh pagar utama hadapan istana sehingga menyebabkan rantai dan mangga kunci putus serta pagar terbuka.

“Lelaki terbabit terus memecut masuk hingga ke anjung istana. Bantuan daripada unit Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) trafik yang sudah berada di anjung itu, cuba menahan namun berlaku pergelutan apabila dia bertindak mengacukan pistol mainan ke arah anggota polis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar pada Isnin (25 Mei).

ACP Razali berkata hasil siasatan awal mendapati, suspek yang berasal dari Kampung Tersusun Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), Tawai Gerik itu mendakwa melakukan pencerobohan kerana dipanggil ke istana berkenaan untuk menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

"Siasatan lanjut akan dijalankan termasuk mendapatkan rekod kesihatan mental suspek berkenaan, bagaimanapun setakat ini kita menganggap dia normal kerana dia bekerja sebagai pemandu lori, mempunyai isteri dan dua orang anak," katanya.

Mengulas lanjut, ACP Razali berkata ujian air kencing mendapati suspek positif amphetamine dan methamphetamine namun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 426 dan 447 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan bencana pada pagar istana dan menceroboh istana,” katanya sambil menambah kes juga disiasat mengikut Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan Akta Senjata Api,” katanya. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan