Images
  • grab generic
    (Gambar fail: TODAY)

Pemandu Grab disamun 3 lelaki bersenjata

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu Grab berhadapan detik cemas apabila disamun tiga lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di kawasan letak kereta Persiaran Saujana, Jalan Masai Lama dekat Johor Jaya, Johor Bahru, pada Khamis (15 Ogos).

Dalam kejadian pada 5.20 pagi itu, pemandu lelaki berusia 25 tahun sedang berehat di dalam keretanya sebelum didatangi tiga lelaki bertutup muka dan berparang yang memberhentikan kereta mereka di sebelah keretanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam DSP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata mangsa yang risau dengan keselamatan dirinya bertindak mengikut arahan ketiga-tiga suspek supaya menyerahkan dompetnya.

"Ketiga-tiga suspek melarikan dompet mangsa (pemandu Grab) yang mengandungi pelbagai dokumen diri dan bank, wang tunai RM540 (S$179) serta dua telefon bimbit.

"Namun, mangsa tidak dicederakan,” kata DSP Shahrulanuar Mushaddat.

Sebelum ini, tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan mangsa disamun tiga lelaki bertutup muka dan bersenjatakan parang ketika sedang berehat di dalam kereta.

DSP Shahrulanuar Mushaddat berkata polis kini sedang giat mengesan kesemua suspek yang terlibat berdasarkan maklumat yang diperolehi dan rakaman CCTV berhampiran tempat kejadian.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya memohon kerjasama orang ramai untuk tampil membantu siasatan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian.

- BERNAMA/FZ/fz

Top