Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pemakanan kurang sihat semasa hamil mungkin punca masalah berat badan berlebihan dalam kanak-kanak

Anak-anak yang dilahirkan oleh ibu yang banyak memakan makanan yang telah diproses dan sarat dengan gula dan garam berdepan dengan risiko lebih tinggi mengalami masalah berat badan berlebihan semasa usia kanak-kanak, kata para pengkaji pada Isnin (22 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemakanan kurang sihat semasa hamil mungkin punca masalah berat badan berlebihan dalam kanak-kanak

Gambar hiasan. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 23 Feb 2021 01:17PM Dikemas Kini : 23 Feb 2021 01:21PM

PARIS: Anak-anak yang dilahirkan oleh ibu yang banyak memakan makanan yang telah diproses dan sarat dengan gula dan garam berdepan dengan risiko lebih tinggi mengalami masalah berat badan berlebihan semasa usia kanak-kanak, kata para pengkaji pada Isnin (22 Feb).

"Anak-anak yang dilahirkan oleh ibu yang memakan makanan bermutu rendah - penuh dengan makanan yang dikaitkan dengan keradangan - semasa hamil lebih cenderung mengalami obesiti atau lemak badan yang berlebihan," kata Dr Ling-Wei Chen dari Sekolah Kesihatan Awam Kolej Universiti Dublin dalam kenyataannya.

"Banyak bukti menunjukkan 1,000 hari pertama kehidupan - dari kandungan sehingga usia dua tahun - sebagai masa kritikal untuk mencegah obesiti dalam kalangan kanak-kanak."

Obesiti dalam kalangan kanak-kanak kerap berlarutan sehingga usia dewasa dan dikaitkan dengan risiko lebih tinggi menghidap kencing manis jenis-2, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan masalah kesihatan yang lain.

Untuk mengkaji bagaimana diet ibu boleh menjejas obesiti pada kanak-kanak, Dr Chen dan rakan sekerjanya menganalisis data yang dikumpulkan daripada 16,295 pasangan ibu-anak di Ireland, Perancis, Britain, Belanda dan Poland.

Secara purata, para ibu berusia 30 tahun dan mempunyai indeks jisim badan (BMI) yang sihat, ukuran standard untuk obesiti yang dikira berdasarkan berat badan, ketinggian dan jantina.

Wanita-wanita itu turut memaklumkan jenis makanan yang dimakan sebelum dan semasa mengandung. Para penyelidik menilai diet berdasarkan skala lima mata.

Para peserta dengan diet paling sihat - kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, kacang dan kekacang produk tenusu rendah lemak - diletakkan di satu spektrum yang berasingan.

Manakala mereka yang banyak memakan daging merah dan makanan diproses, bersama makanan yang penuh dengan lemak tepu, gula dan garam diletakkan di satu lagi spektrum yang berlainan.

LEBIH LEMAK, KURANG OTOT

Sebagai susulan, BMI kanak-kanak dikira pada peringkat awal, pertengahan dan lewat usia kanak-kanak, pada usia sekitar 10 hingga 11 tahun.

Mereka mendapati bahawa kanak-kanak lebih tua yang dilahirkan oleh ibu-ibu yang mengamalkan pemakanan kurang sihat sepanjang tempoh kehamilan lebih cenderung mempunyai lebih banyak lemak dan jisim otot yang berkurangan.

Bagaimanapun, hampir tiada perbezaan yang dapat dilihat pada anak-anak lebih muda.

"Dapatan kami menunjukkan bahawa dengan menggalak diet yang sihat secara keseluruhannya, dengan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran serta rendah karbohidrat halus dan daging merah dan makanan diproses, sepanjang tempoh kehamilan, ia akan dapat membantu mencegah kegemukan dan berat badan berlebihan semasa zaman kanak-kanak," kata pengkaji utama Catherine Phillips, juga dari Universiti Dublin.

Penyelidikan sebelum ini mendapati bahawa tahap jisim otot yang rendah mungkin dikaitkan dengan risiko lebih tinggi gabungan kencing manis, tekanan darah tinggi dan obesiti.

Para pengkaji turut memberi amaran bahawa kajian mereka tidak secara langsung menunjukkan punca dan kesannya, dan ia juga tidak menjelaskan secara biologi mengapa pemakanan buruk si ibu boleh menyebabkan obesiti pada kanak-kanak.

Satu penjelasan mungkin terletak pada bidang epigenetik, iaitu kesan bukan genetik yang boleh diwarisi, jelas Dr Phillips.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan