Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Peluru tembus tengkorak punca kematian gajah pygmy

Hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap bangkai gajah pygmy - ditemui mati di Sungai Udin, Dumpas, dekat Kalabakan pada Khamis (26 Sep) lalu - berpunca daripada peluru yang digunakan menembusi tengkorak haiwan malang itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Peluru tembus tengkorak punca kematian gajah pygmy

Bangkai seekor gajah pygmy yang ditemui mati di Sungai Udin, Dumpas, dekat Kalabakan pada Khamis (26 Sep) lalu. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 Oct 2019 04:47PM Dikemas Kini : 01 Oct 2019 04:49PM

KOTA KINABALU: Hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap bangkai gajah pygmy - ditemui mati di Sungai Udin, Dumpas, dekat Kalabakan pada Khamis (26 Sep) lalu - berpunca daripada peluru yang digunakan menembusi tengkorak haiwan malang itu.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Augustine Tuuga berkata di kiri dan kanan badan gajah berkenaan terdapat kesan lebih kurang 70 peluru tabur, namun tidak menyebabkan kematian kepada gajah berkenaan.

“Banyak kesan tembakan di badan tetapi itu mungkin hanya menyebabkan kesakitan. Salah satu peluru itu menembusi tengkorak gajah berkenaan dan gadingnya telah dipotong serta diambil pemburu,” katanya hari ini (1 Okt).

Augustine turut menjelaskan bahawa gajah berkenaan adalah gajah jantan dewasa yang berumur antara 20 hingga 30 tahun dan bukan gajah betina seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau berkata wang ganjaran sebanyak RM30,000 (S$9,912) ditawarkan kepada pemberi maklumat bagi mengesan pemburu yang terlibat dalam aktiviti tersebut dan bantuan orang ramai amat diharapkan untuk menyalurkan sebarang maklumat.

“Kawasan berkenaan tidak ramai penduduk tetapi JHL akan terus berusaha untuk mencari mereka yang bertanggungjawab melakukan pemburuan haram itu,” ujar Augustine lanjut.

Pada Khamis lalu, sekumpulan pemancing menemui bangkai gajah pygmy berkenaan yang dipercayai sudah mati antara tiga hingga empat hari. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan