Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Peletakan jawatan Perdana Menteri Dr Mahathir satu lagi 'kejutan' buat rakyat M'sia

Pengumuman mengejut Dr Mahathir Mohamad pada Isnin (24 Feb) melakar sejarah sebagai peletakan jawatan perdana menteri buat kali kedua di negara Malaysia itu, malah tindakan itu datangnya daripada individu yang sama.

Anggaran Waktu Membaca:
Peletakan jawatan Perdana Menteri Dr Mahathir satu lagi 'kejutan' buat rakyat M'sia

Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 24 Feb 2020 11:04PM Dikemas Kini : 24 Feb 2020 11:06PM

KUALA LUMPUR: Pengumuman mengejut Dr Mahathir Mohamad pada Isnin (24 Feb) melakar sejarah sebagai peletakan jawatan perdana menteri buat kali kedua di negara Malaysia itu, malah tindakan itu datangnya daripada individu yang sama.

Sama seperti ketika beliau mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai perdana menteri keempat Malaysia pada 2003, pengumuman pada Isnin (24 Feb) adalah sesuatu yang tidak dijangka dan memeranjatkan semua pihak.

Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh pada 10 Mei 2018 selepas memimpin Pakatan Harapan (PH) menumbangkan apa yang beliau gelar sebagai sebuah kerajaan kleptokratik, sekali gus menamatkan pemerintahan enam dekad Barisan Nasional yang diterajui UMNO di Malaysia.

Meskipun mentadbir Malaysia dalam tempoh singkat iaitu kira-kira 22 bulan pada kali ini, perdana menteri tertua di dunia itu berjaya membawa pembaharuan kepada negara, termasuk usaha memerangi rasuah secara habis-habisan.

Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 merupakan ‘hadiah’ terakhir beliau kepada negara.

Terkenal kerana minatnya dalam bidang automotif, Dr Mahathir yang memperkenalkan kereta nasional pertama iaitu Proton pada 1982 dengan wawasan menjadikan Malaysia sebagai penjana pembuatan serantau, telah melancarkan projek kereta nasional ketiga.

Selaras dengan keinginan PH untuk melaksanakan keadilan, Dr Mahathir turut melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, satu komitmen untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mencapai pembangunan mampan dan pengagihan kekayaan yang adil, saksama serta inklusif kepada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

Kerajaan yang dipimpin beliau juga memastikan bahawa kedaulatan undang-undang dilaksanakan dengan pemisahan kuasa yang jelas antara eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman.

Ia turut memberi penekanan untuk memperkasakan wanita dengan inisiatif yang diambil termasuk melantik timbalan perdana menteri wanita serta beberapa jawatan penting dalam Kabinet dan seorang ketua hakim wanita buat pertama kali.

Semasa menjadi perdana menteri keempat, Dr Mahathir yang menggantikan Tun Hussein Onn pada 1981 telah mendorong usaha-usaha pembangunan dan pemodenan negara sehingga menyebabkan beliau digelar sebagai 'Bapa Pemodenan.' 

Ini termasuk pembinaan bangunan ikonik Menara Berkembar Petronas dan Kuala Lumpur City Centre di tengah-tengah Kuala Lumpur yang dilancarkan pada 1992 serta pembangunan ibu kota pentadbiran persekutuan Putrajaya, Lebuhraya Utara-Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Koridor Raya Multimedia, inisiatif ICT nasional Malaysia yang dipeloporinya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan